Dipenjara 5 hari langgar perintah kuarantin

WANITA warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara lima hari dan didenda RM4,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Kluang, hari ini kerana melanggar Perintah Kuarantin

Mengikut kertas pertuduhan, Maksan, 41, tiba dari Lombok, Indonesia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), 2 Julai lalu dan diarahkan berada di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari mengikut peruntukan Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Majistret ND Arun menjatuhkan hukuman itu terhadap Maksan selepas menimbang kepentingan awam, terutama bagi menghalang orang ramai melakukan kesalahan yang sama seperti tertuduh.

Dalam pertuduhan berkenaan, tertuduh didapati melanggar peruntukan Seksyen 22(b) dengan tidak mematuhi apa-apa perintah sah yang dikeluarkan oleh pegawai diberkuasa dibawah Akta 342 dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24(a) iaitu penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-dua dibawah akta yang sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh keluar dari bilik pengasingan dalam tempoh perintah kuarantin di antara 2 Julai sehingga 18 Julai, lalu yang boleh mendatangkan risiko penularan Covid-19 di Pusat Jagaan Warga Emas Bahagia, Taman Bahagia, Kluang.

Ketika rayuan mengurangkan hukuman, Maksan yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan, dengan alasan dia sudah menyesal kerana melanggar perintah itu dan dia perlu menjaga anaknya yang tidak sihat.

Pegawai Pendakwa Anuar Nordin bagaimanapun memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman setimpal dan maksima ke atas tertuduh sebagai satu bentuk pengajaran kepada yang lain memandangkan masih ramai yang mengingkari perintah berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kluang, Mohamad Nizam Subakir ketika ditemui pemberita berkata, kes itu adalah kes pertama pelanggaran kuarantin yang dibawa ke mahkamah di daerah Kluang dan ianya menunjukkan kesungguhan Jabatan Kesihatan dalam mengekang penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19