Doa hakim buat mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah, hari ini, mendoakan agar Allah SWT menempatkan roh mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di syurga.

Beliau mendoakan sedemikian selepas menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang disabitkan kesalahan membunuh 23 individu dalam tragedi menyayat hati yang berlaku hampir tiga tahun lalu.

“Saya doakan roh yang meninggal dunia dicucuri rahmat Allah SWT dan menjadi ahli syurga. Begitu juga ibu bapa mereka,” katanya.

Keputusan itu dibuat selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata, remaja itu dijatuhi hukuman penjara sehingga tempoh mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 kerana ketika kejadian tertuduh berusia 16 tahun.

“Dengan ini saya di bawah kuasa peruntukan yang ada, kamu didapati bersalah dan memerintahkan dipenjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Terpulang kepada YDPA untuk menyatakan syarat ke atas tahanan itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, ibu kepada Allahyarham Muhammad Danieal Md Amin iaitu salah seorang mangsa kebakaran itu berkata, keputusan mahkamah itu setimpal dengan perbuatan dilakukan tertuduh dan berharap dia berubah menjadi insan baik dan berguna.

Surianty Mohamed, 42, berkata, semua orang tidak pernah lari daripada membuat silap dan dia sudah lama memaafkan tertuduh.

Katanya, walaupun dia tidak hadir untuk mendengar hukuman yang dijatuhkan mahkamah, namun keluarga waris mangsa terdekat memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa mengenai perbicaraan kes itu melalui WhatsApp.

“Sejak dari awal lagi saya sudah memaafkannya kerana sesama manusia tidak elok kita menyimpan dendam lagipun anak saya sudah tenang berada di sana (syurga Allah),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong, hari ini.

Katanya, dalam ingatannya tidak pernah sesaat pun dia melupakan kenangan yang ada bersama dengan anak sulungnya itu, malah dia sempat menunaikan permintaan terakhir arwah yang ingin makan ayam madu dari air tangannya.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Berita berkaitan

• ‘Saya maaf dan doakan dia’ – ibu mangsa kebakaran tahfiz

• Timbalan Pendakwa Raya sebak

• Remaja bakar tahfiz dipenjara hingga dapat pengampunan Agong