Doa keluarga angkat

Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga mengharapkan keajaiban dan pertolongan Allah supaya urusan membabitkan adik dipermudahkan,” kata Tuhfah Nazihah Md Tarmidi iaitu kakak angkat kepada kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat didera, petang kelmarin.

Tuhfah Nazihah, 26, berkata, dia sekeluarga bersyukur kerana dibenarkan membuat pengecaman adik angkatnya di bilik forensik Hospital Melaka, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Katanya, mereka sekeluarga bagaimanapun hanya dibenarkan masuk ke dalam bilik forensik secara bergilir-gilir.

“Alhamdulillah, dengan budi bicara petugas yang simpati dengan kami, mereka memberi kebenaran membuat pengecaman sebelum bedah siasat dijalankan.

“Kemungkinan jenazah akan dikebumikan esok dan kami cuba untuk membawa jenazah pulang ke Rawang, Selangor tetapi kalau tiada jalan, kami akur. Jika di Melaka, jenazah adik akan dikebumikan di kampung neneknya di Asahan, Jasin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia sekeluarga akan mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat berjemaah di inap desa tempat mereka menginap sementara menanti urusan bedah siasat selesai.

“Sejak malam tadi, selepas solat Isyak, kami sekeluarga mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat bagi memohon kepada Allah supaya semua urusan dipermudahkan.

“Kami berikhtiar tetapi serahkan segalanya kepada Allah,” katanya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, di sini, dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Susulan itu, ibu kandung dan bapa tiri mangsa direman tujuh hari hingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan.

Pasangan berusia 32 dan 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan .

Berita berkaitan:

  • Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri – Polis
  • ‘Mangsa sering bersendirian, termenung’ – Jiran
  • Suami isteri disyaki dera anak sampai mati direman
  • ‘Tidak kasihan ke individu itu kepadanya?’
  • Budak maut didera ibu, bapa tiri