Doa seorang ayah

MEMUJI dan mensyukuri nikmat Ilahi dizahirkan dengan menyebut Asma’ul Allah. Tiada apa yang lebih terbaik selain berdoa dan bermunajat kepada Allah.

Lafaz kesyukuran ini juga menceritakan keberadaan pasangan sejoli, Fattah Amin dan Nur Fazura yang sentiasa tabah dan terus berdoa untuk menerima kurniaan pewaris keluarga yang bakal menambahkan ikatan kasih sayang yang sudah setia terjalin antara mereka.

Selepas berkongsi mengenai kehamilan isteri tercinta, pelakon dan penyanyi terkenal, Fattah Amin, 30, sekali lagi memberikan khabar gembira buat seluruh peminatnya apabila bakal muncul dengan single Islamik berjudul Kiriman Agung.

Istimewanya, lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik bersama Fedtri Yahya itu dibuat khas untuk anak sulung yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Malah, lagu terbitan syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu juga adalah percubaan pertama Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin menyanyikan lagu dalam genre nasyid atau ketuhanan.

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi, Insya-Allah. Lagu ini lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan. Bagi saya, lagu ini bukan saja untuk saya, tapi juga buat mereka yang bakal bergelar bapa.

“Malah, untuk lagu ini keseluruhan idea dan konsep datang daripada saya. Saya bagi ‘direction’ kepada Hafiz dan Fedtri untuk buat lagu ini. Saya ceritakan pada mereka macam mana yang saya mahukan untuk lagu ini. Jadi, secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan pada pendengar,” katanya.

Kombinasi antara muzik, lirik dan lontaran vokal daripada Fattah menjadikan naskhah ini lebih bermakna dan bermanfaat buat semua.

Kelainan untuk Fattah yang pertama kali berkarya dalam genre ini menjadikan satu ekperimentasi yang terbaik supaya dapat menjengah ke liputan peminat yang lain daripada sebelum ini.

Fattah yang juga penyanyi lagu Wanita Terindah berkata, tercetusnya idea menghasilkan lagu selepas dia melancarkan lagu Bebas.

“Selepas lagu Bebas yang mengangkat tema semangat dan inspirasi, dari situ saya terfikir nak buat pula lagu ketuhanan iaitu genre yang belum pernah saya buat.

“Apabila saya sampaikan idea ini pada Universal Music Malaysia, saya fikir kenapa tidak buat lagu yang kena dengan keadaan saya sekarang. Apabila ia dipersetujui, saya pun terus sampaikan idea kepada Hafiz yang juga penerbit lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai genre lagu ini, Fattah yang juga pelakon filem Special Force menyifatkan ia peluang terbaik untuk dirinya memulakan genre itu pada masa akan datang.

Fattah berkata, merakamkan lagu genre itu memberikan pengalaman baharu buat dirinya sebagai penyanyi.

“Sebenarnya saya sudah lama nak nyanyi lagu ketuhanan atau Islamik. Ini pertama kali dapat peluang daripada Universal Music Malaysia dan dapat pula bekerjasama dengan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya.

MERAKAMKAN lagu genre ketuhanan beri pengalaman baharu buat Fattah sebagai penyanyi.
MERAKAMKAN lagu genre ketuhanan beri pengalaman baharu buat Fattah sebagai penyanyi.

“Saya berasakan ia peluang terbaik untuk mulakan dengan genre ini. Malah, kalau ikutkan juga saya sudah lama nak buat lagu ini, tapi belum ada waktu sesuai. Jadi, apabila dapat masa terbaik saya putuskan untuk rakam.

“Nak cakap susah atau tak, tentu saja susah. Apatah lagi ini percubaan pertama saya sebab tak pernah nyanyi lagu bergenre ini. Alhamdulillah dapat tunjuk ajar daripada penerbit. Jadi, kami bersama-sama berusaha sehabis baik dalam menghasilkan lagu ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya yang cukup terbaik,” katanya.

Sama seperti single yang dihasilkan sebelum ini, Fattah juga meletakkan harapan supaya lagu itu diterima baik pendengar muzik tempatan.

“Tentu saja saya mengharapkan yang terbaik daripada pendengar. Walaupun saya masih baharu untuk genre ini, tapi saya sudah buat yang terbaik. Jadi, saya harapkan yang terbaik juga daripada pendengar.

“Daripada komen saya baca pun, banyak memberikan maklum balas positif. Sekali gus membuatkan saya gembira. Genre seperti ini sebenarnya masih ada peminat dan pendengar. Mereka juga doakan yang baik-baik buat saya dan zuriat yang bakal dilahirkan,” katanya.

Dalam masa sama, Fattah berkongsi dia masih dalam perancangan untuk menghasilkan video muzik lagu itu.

Lagu Kiriman Agung boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music pada sejak 11 september lalu.