Doktor keluarkan sehelai rambut di tapak kaki

Slim River: Seorang doktor mengalami pengalaman pelik sepanjang karier selama 12 tahun apabila terpaksa melakukan pembedahan kecil bagi mengeluarkan sehelai rambut pada tapak kaki kanan seorang kanak-kanak, dekat sini.

Pengasas Perkhidmatan Klinik Doktor Bergerak (DOCMOVE), Dr Hanafi Yahya berkata, pada 11 September lalu, beliau didatangi sebuah keluarga dari Sungai Siput, Perak bersama kanak-kanak yang berusia lapan tahun untuk menerima rawatan.

Katanya, kejadian yang berlaku kepada kanak-kanak terbabit bermula pada malam pertama ketika keluarga kanak-kanak itu berpindah ke rumah baharu.

“Selama dua minggu kanak-kanak itu mengadu sakit pada tapak kaki kanan menyebabkan ibu bapa kanak-kanak terbabit datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Saya dimaklumkan rambut yang terdapat pada tapak kaki kanak-kanak terbabit boleh bergerak menyebabkan saya berasa pelik memikirkan bagaimana sehelai rambut yang lembut dan halus boleh masuk ke dalam tapak kaki kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Dr Hanafi berkata, beliau terpaksa melakukan pembedahan kecil kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan rambut sepanjang 1.5 sentimeter.

“Inilah pengalaman pertama dan pelik saya hadapi sepanjang karier saya terpaksa mengeluarkan sehelai rambut dalam tapak kaki manusia.

“Syukur selepas rambut itu dikeluarkan pada tapak kakinya, kanak-kanak terbabit sudah dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan normal kembali,” katanya.

Beliau berkata, sampai sekarang beliau masih tertanya-tanya mengenai kejadian terbabit dan baginya apa yang berlaku adalah kuasa Tuhan.