Dosa dibayar ‘cash’

SETENGAH jam selepas menyamun, seorang remaja menemui ajal apabila kenderaan yang dicuri terbabit kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 20.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru, hari ini.

Kemalangan pada 7.30 pagi itu membabitkan sebuah Proton Exora dipandu penjenayah; Perodua Kelisa dan Perodua Myvi.

Ia turut menyebabkan rakan jenayahnya parah dan sedang dirawat di Zon Merah, Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pemandu kereta Kelisa, lelaki berusia 40 tahun cedera di kaki kiri serta tulang leher, manakala dua kanak-kanak lelaki berusia 5 dan 8 tahun yang juga penumpang kenderaan itu masing-masing cedera di muka dan kepala.

Sementara itu, wanita berusia 38 tahun yang memandu kereta Myvi, pula cedera di bahagian tangan dan kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, siasatan awal awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Exora yang dicuri dipandu lelaki berusia 18 tahun bersama penumpang lelaki berusia 22 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan.

“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahagian kanan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan kereta Perodua Kelisa dan Myvi.

“Akibatnya, pemandu Proton Exora parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya mengalami pendarahan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, kesemua mangsa dihantar ke HSI untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati sebelum kemalangan, berlaku satu kejadian samun di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, kira-kira 7 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal daripada pemilik Proton Exora, dia disamun dua lelaki manakala kenderaannya dilarikan.

“Semakan juga mendapati lelaki yang maut mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan rakannya mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

“Kes kemalangan disiasat oleh IPD Seri Alam mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, manakala kes jenayah disiasat oleh IPD Johor Bahru Selatan (JBS),” katanya.