Dr Ali amat disenangi rakan sekerja, pesakit

Kuala Lumpur: Allahyarham Dr Ali Noor Hassan amat disenangi rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Allahyarham Dr Ali pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam kelmarin.

“Beliau seorang Pegawai Perubatan yang amat disenangi oleh rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat.

“Adalah dimaklumkan bahawa ujian Covid-19 buat Allahyarham Dr Ali Noor adalah negatif,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook (FB) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan menjalani beberapa sesi rawatan.

“Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham, KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau.

“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah Dr Ali Noor. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia.

Berita berkaitan

• ‘Perginya seorang perwira negara’