Dua lelaki bergelang ‘pink’ berkunjung ke pejabat LHDN Kangar

DUA penduduk dikompaun selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang, Kangar apabila dikesan keluar dari kawasan terbabit pagi tadi.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, dua lelaki berusia 47 dan 60 tahun yang memakai gelang merah jambu dikesan orang ramai ketika mengunjungi pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kehadiran dua lelaki terbabit selepas dihubungi orang awam yang berada di pejabat berkenaan.

“Anggota polis bertindak menahan dua lelaki itu di perkarangan pejabat LHDN. Mereka mendakwa keluar dari kawasan Temco untuk mendaftar Bantuan Sara Hidup (BSH) di pejabat berkenaan.

“Mereka kemudian dikompaun RM1,000 setiap seorang dan mereka diiringi pihak berkuasa pulang ke kawasan Temco,” katanya ditemui selepas meninjau sekatan jalan raya di Jalan Kuala Sanglang, hari ini.

Wari berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki terbabit mengaku tidak singgah ke kawasan lain sebelum ke pejabat LHDN.

“Kita menasihati orang ramai untuk tidak mengambil ringan langkah pencegahan yang dilakukan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan Temco.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan