Dua maut dalam kebakaran

DUA maut manakala empat termasuk seorang kanak-kanak lelaki selamat dalam kebakaran di sebuah rumah yang dijadikan kediaman sementara pekebun dekat Kampung Pertama, Permatang Pauh, di Bukit Mertajam, awal pagi, hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Timbalan Penguasa Bomba II Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.41 pagi berhubung insiden itu.

“Ketika tiba di lokasi didapati api sedang marak hingga memusnahkan 90 peratus struktur rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki sudah rentung dan seorang lagi lelaki warga Myanmar tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki warga Myanmar yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Teh Chai Wing, 65 dan Mohammad Yunus Muhammad Yasin, 45.

Azrul Khairi berkata, siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan kediaman sementara pekebun dan mangsa dipercayai bekerja sebagai tukang kebun di kawasan itu.

“Dalam rumah berkenaan terdapat lagi tiga lelaki warga Myanmar berusia 13 dan 22 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun.

“Keempat-empat mereka sempat menyelamatkan diri ketika kejadian,” katanya.

Api berjaya dipadamkan pada jam 5.25 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 8.35 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.