Dua sub kluster saling berkaitan di Kuantan

AKTIVITI tertumpu dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi mengenalpasti dua sub kluster saling berkaitan di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Bali di Kuantan ini adalah satu kluster membabitkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.

“Sehingga hari ini, 20 orang dikenal pasti dalam kluster ini iaitu 14 sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang.

“Dua daripada mereka sudah sembuh manakala tiga lagi masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang meninggal dunia iaitu kes ke-1575,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, terdapat tiga anggota kesihatan yang terbabit dalam kluster itu.

“Kes indeks iaitu kes ke-4,684 bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia, dan pesakit kemudian mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1,575 iaitu abang kepada pesakit berkenaan.

“Kes ke-1,575 kemudian menjangkiti tujuh kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga,” katanya.

Menurutnya, terdapat 339 kontak rapat dikenal pasti dan ujian saringan Covid-19 sudah dijalankan termasuk 202 anggota kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19