Duduk dalam kubur tunggu kematian

Beijing: Berputus asa untuk hidup disebabkan penyakit limfoma yang dihidapi menyebabkan seorang warga emas dari Wugang di Wilayah Hunan nekad berkurung dalam lubang kubur dan menunggu kematian menjemputnya.

Lubang itu sebelum ini digali pekerja yang diupah untuk melakukan persediaan pengebumiannya nanti.

Pesakit berusia 79 tahun itu dikatakan sudah hilang harapan selepas pelbagai rawatan yang dijalani di hospital di sini, gagal menyembuhkan penyakitnya.

Dia dan anak lelakinya kemudian pulang ke kampung halaman mereka serta membuat persediaan termasuk mengupah orang menggali kubur, menurut media tempatan.

Ketika mahu memeriksa kubur yang digali itu, lelaki berkenaan didakwa terus memasuki lubang terbabit dan enggan keluar apabila dipujuk anaknya.

Pesara berkenaan memberitahu mahu tinggal di dalam lubang itu kerana tidak mahu lagi menyusahkan isteri dan anaknya.

Laporan turut menyebut lelaki itu menyuruh anaknya pulang dan mengambil makanan buatnya manakala dia yang membawa pisau cuba untuk membunuh diri.

Bagaimanapun, warga emas itu sempat diselamatkan apabila penduduk kampung yang melihat kejadian menghubungi pihak berkuasa pada Sabtu lalu.

Menerusi video tular, warga emas itu dibawa naik oleh pasukan keselamatan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.