Dugaan 6 bulan Azira

SELAMA lapan tahun bercinta bukan tempoh yang singkat. Dalam pada diulit rasa bahagia, tentu ada dugaan atau ujian kecil yang perlu ditempuhi setiap pasangan bercinta.

Situasi sama dilalui pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz yang kini hangat bercinta dengan ahli perniagaan, Yasser Khan.

Pernah melalui detik sukar apabila hubungan yang dibina terhenti seketika, namun Azira menegaskan banyak perkara yang dipelajari sepanjang tempoh enam bulan berpisah itu.

“Dalam setiap perhubungan pasti akan ada salah faham yang wujud tapi cara kita mengatasinya itu perlu bijak dan tidak terburu-buru. Banyak yang saya belajar antaranya saling bertoleransi dengan pasangan kita dan paling utama sekali adalah kepercayaan.

“Saya akui setiap pasangan yang bercinta akan melalui pasang surutnya tapi momen itulah yang akan mematangkan kita dan menjadikan kita lebih baik,” katanya.

Mengakui hubungan yang dibina masih berjalan utuh, Azira yang juga anggota kumpulan De Fam berkata, mereka tiada perancangan untuk mendirikan rumah tangga lagi.

“Buat masa ini kami berdua nak kukuhkan kerjaya masing-masing dulu. Tipulah kalau saya katakan kami tidak berbincang mengenai perkara ini.

“Namun saya rasa eloklah sekiranya kami fokus dengan kerjaya. Saya bimbang jika kami berkahwin sekarang mungkin saya tidak dapat memberi sepenuh komitmen pada rumah tangga kerana sibuk dengan agenda seni yang padat ketika ini.

“Jika masanya sudah tiba saya sendiri akan berkongsi berita gembira ini kepada umum kerana tiada apa yang nak dirahsiakan,” katanya.

Ditanya kriteria yang ada pada Yasser, kata Azira, bakal suaminya itu lelaki yang sangat bertanggungjawab pada keluarganya.

Tak berpecah

Sejak kebelakangan ini, anggota kumpulan De Fam yang dianggotai Manggis dan Sophia dilihat membawa haluan sendiri apabila masing-masing mempunyai kerjaya sendiri.

Bagaimanapun Azira memberitahu, walaupun mereka sibuk dengan kerjaya solo masing-masing, mereka tidak pernah mengetepikan kumpulan itu.

“Buat masa ini, anggota De Fam banyak menghabiskan masa dengan kerjaya seni masing-masing tapi sebenarnya kami masih aktif bersama di belakang tabir.

“Kami sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan single baru dan bakal bekerjasama dengan sebuah jenama antarabangsa tidak lama lagi.

“Tidak dinafikan, orang luar akan mengatakan kami berpecah atau membawa haluan masing-masing tapi hakikatnya kami masih bersatu. Kami bertiga saling diperlukan apabila salah seorang memerlukan bantuan. Cuma sekarang ini banyak persembahan yang terpaksa ditolak susulan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

AZIRA belum ada perancangan mendirikan rumah tangga. FOTO Ihsan Instagram Pinography
AZIRA belum ada perancangan mendirikan rumah tangga. FOTO Ihsan Instagram Pinography

Bangga dapat berlakon filem pertama

Siapa sangka, dalam tempoh lima tahun bergerak sebagai pelakon, kini Azira diberi peluang buat julung kalinya untuk terbabit dalam filem arahan Kabir Bhatia berjudul Talbis Iblis.

Dijangka menemui penonton di pawagam penghujung tahun ini, Azira mengakui teruja untuk menantikan momen indah dalam hidupnya apabila tawaran yang datang bukan diperoleh dengan mudah.

“Memegang peranan watak utama sebagai Hajar dalam filem ini bukan mudah. Saya perlu melalui proses uji bakat terlebih dahulu sebelum diterima berlakon.

“Alhamdulillah saya berbangga dengan diri saya kerana filem ini menjadi buah tangan pertama saya di layar perak. Saya juga bersyukur kerana proses pembikinan filem ini juga berjalan lancar.

“Jujur watak dalam filem pertama ini agak berat kerana saya memegang watak sebagai seorang wanita yang hamil anak luar nikah. Banyak babak berat yang perlu dijayakan.

“Namun syukur saya pernah bekerja dengan Kabir Bhatia sebelum ini membuatkan saya sudah serasi dengannya. Malah hero gandingan saya juga adalah Zul Ariffin. Kami pernah berlakon sama dalam Seribu Rindu,” katanya.

Tambah Azira, diberi peluang berlakon filem adalah impian yang sudah lama dipendam dan akhirnya menjadi kenyataan.

“Selain filem Talbis Iblis saya juga ada satu lagi filem yang bakal ditayangkan tahun ini iaitu Air Force yang mengisahkan mengenai tentera udara.

“Jadi tahun ini saya nak fokus untuk dua filem ini dulu. Kemudian saya teringin nak berlakon teater kerana saya sukakan cabaran.

“Saya mengakui beruntung kerana tawaran filem yang saya dapat ini sangat berlainan dengan karakter yang pernah saya bawakan dalam drama. Bagi saya ia sangat bagus kerana saya dapat mewarnai karakter itu dengan lebih baik.

“Saya seorang yang amat mementingkan jalan cerita dan skrip kerana saya tahu cabaran yang perlu dipikul ini bukan mudah. Justeru saya perlu pastikan setiap naskhah yang dibuat perlu berlainan untuk memastikan penonton datang ke panggung wayang,” katanya.