Dugaan emak, anak bongsu dan bapa positif Covid-19

Kuala Lumpur: “Memang sedih kerana semalam, anak bongsu positif Covid -19 dan pagi tadi, ayah pula menerima nasib sama di hari ulang tahun kelahirannya,” demikian luahan ibu dua anak, Noraishah Mohamed Noor.

Noraishah, 30, yang menetap di Telok Panglima Garang, Selangor mendapat perhatian warganet selepas memuat naik video pendek di TikTok menceritakan kisah anak bongsunya, Putra Muhammad Syamim Muhammad Wijdan ,6, selepas disahkan positif Covid-19, semalam.

Menerusi video berkenaan, Noraishah memuat naik gambar dan luahan perasaannya yang tidak kuat menerima kenyataan itu.

Bercerita lanjut, Noraishah berkata, dia menerima panggilan daripada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan keputusan ujian Putra Muhammad Syamim yang positif pada 8 pagi semalam.

Katanya, sejak itu, perasaannya bercampur dan sedih kerana terpaksa menempatkan anaknya itu di dalam bilik berseorangan sementara menunggu ambulans tiba dan membawanya ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

“Semalam, pegawai KKM menghubungi saya untuk memaklumkan keputusan ujian bagi kedua-dua anak saya iaitu Muhammad Syawal Almuqarrobin (anak sulung) dan Putra Muhammad Syamim yang melakukan ujian calitan pada Khamis lalu.

“Namun, anak sulung saya negatif manakala yang bongsu positif dan ketika itu badan saya terus jadi menggigil kerana terkejut, sedih serta takut.

“Belum hilang perasaan sedih itu, saya terima pula panggilan KKM pagi tadi memaklumkan ayah positif Covid-19 dan perlu dibawa ke pusat kuarantin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Noraishah berkata, dia pada mulanya risau memikirkan keadaan Putra Muhammad Syamim yang akan ditempatkan di PKRC MAEPS .

Namun, katanya, dia berasa sedikit lega apabila mengetahui bapanya, Mohamed Noor Zakariah, 67, turut dikuarantin di pusat sama.

“Saya bimbangkan Putra Muhammad Syamim kerana usianya masih kecil tetapi risau juga memikirkan ayah memandangkan dia menghidap kencing manis.

“Saya khuatir sekiranya ayah dihantar ke Hospital Sungai Buloh kerana emak sudah dimasukkan ke situ, kelmarin kerana positif Covid-19 dan mempunyai penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

“Namun, saya terima ketentuan ini dengan reda selain berdoa supaya mereka berdua segera sembuh,” katanya yang sudah menjalankan ujian calitan bersama suaminya, Muhammad Wijdan Safuan, 33 pada Rabu lalu dan disahkan negatif Covid-19 kelmarin.

Di sebalik ujian itu, Noraishah bersyukur kerana ramai yang mendoakan anaknya.

“Tak sangka cerita itu akan tular kerana saya sekadar berkongsi perasaan menerusi video berkenaan.

“Apapun terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata semangat kepada saya,” katanya