Dulu 700kg kini 100kg

DODOL yang menjadi antara juadah pilihan ketika Aidilfitri kini dijual secara dalam talian berikutan kekangan pergerakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung ke fasa keempat.

Pengusaha Dodol Perak di Kampung Empai, Teluk Sareh, Pulau Tiga di sini, Normi Ramli, 49, berkata, dia memulakan kaedah penjualan begitu selepas pelanggan sukar ke premisnya dan permintaan terhadap makanan tradisi itu berkurangan.

“Selalunya tempahan untuk Ramadan dan hari raya akan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa, malah boleh dianggap lubuk rezeki apabila tibanya bulan ini.

“Bagaimanapun, wabak Covid-19 dan penguatkuasaan PKP mengubah semuanya.

“Namun saya bersyukur, dengan jual online, tempahan termasuk dari luar Perak masih diterima biarpun tidak banyak seperti dulu. Penghantaran pula dibuat menerusi khidmat pos,” katanya ketika ditemui di bengkelnya, semalam.

Normi berkata, setakat ini, baru empat kali dodol dimasak dengan jumlah kurang 100 kilogram (kg) sedangkan, lebih 700kg dihasilkan ketika Ramadan tahun sebelumnya.

Malah katanya, dodol resipi warisan keluarga itu juga kerap ditempah pelanggan lebih awal iaitu sebelum Ramadan lagi namun kali ini tempahan menyusut ketara.

“Ramadan kali ini memang sangat berbeza. Apapun, kami akan terus berniaga dan mempelbagaikan kaedah jualan mengikut situasi semasa,” katanya yang juga generasi ketiga menguruskan perniagaan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan