‘Dunia perlu terus dijaga rapi’

KALI terakhir muncul di layar perak menerusi filem Money Monster pada 2016, George Clooney kembali membintangi filem terbaharunya, The Midnight Sky yang juga arahannya.

Clooney, 59, jelas bersungguh memastikan dia memberi yang terbaik untuk filem arahannya itu. Ini termasuk melakukan transformasi terhadap dirinya demi memenuhi wataknya sebagai Augustine Lofthouse.

Bagaimanapun, keputusannya diet secara drastik dan turun 11 kilogram hampir mengundang padah. Dia terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kepenatan dan turut mengalami penyakit pankreatitis.

Clooney dalam temu bual bersama RAPXTRA baru-baru ini berkata, pada mulanya dia mengalami sakit perut yang teruk sebelum dibawa ke hospital. Dia mengakui terlepas mementingkan tahap kesihatannya semata-mata mahu mencapai tahap berat dituntut untuk watak itu.

“Saya rasa saya terlalu mencuba secara berlebihan untuk turunkan berat sepantas yang mungkin. Kemungkinan saya juga tidak menjaga kesihatan dalam tempoh itu.

“Berminggu-minggu juga saya mengembalikan semula kesihatan dan sembuh. Sebagai pengarah juga, ia bukan sesuatu yang mudah disebabkan saya perlu bertenaga setiap masa,” katanya.

Lebih mencabar, penggambaran yang dilakukan di beberapa lokasi dengan tahap kesejukan melampau turut

menduga proses itu. Namun dia akui cabaran itulah sebenarnya menjadikan ia lebih menyeronokkan.

“Kami berada di kawasan berais di Finland yang tambah menyukarkan kerja. Namun, ia benar-benar membantu dari segi penghayatan watak. Penggambaran ini lebih besar daripada yang pernah saya lakukan sebelum ini. Jadi kami berhempas-pulas untuk menyiapkannya, tapi ia sangat menyeronokkan,” katanya.

Walaupun karya itu hasil adaptasi daripada novel tulisan Lily Brooks-Dalton berjudul Good Morning, Midnight, Clooney banyak menyuntik idea daripada perspektifnya terutama idea perjuangannya sebagai aktivitis kemanusiaan.

CLOONEY suntik idea perspektif hidupnya sendiri dalam menjayakan filem The Midnight Sky.
CLOONEY suntik idea perspektif hidupnya sendiri dalam menjayakan filem The Midnight Sky.

Dia melihat kepentingan memasukkan mesej mengenai apa yang berlaku dalam dunia sekarang. Dia berharap idea itu sampai bagi menggambarkan dunia perlu terus dijaga rapi.

“Kita lihat apa yang berlaku di negara berbeza seluruh dunia sekarang. Paling tepat, negara saya sendiri sebagai contoh mengambil masa bertahun-tahun untuk membaiki banyak perkara,” katanya.

Clooney yang dianugerahkan Person of the Year oleh majalah People percaya terhadap keadilan. Baginya, selagi setiap manusia memperjuangkan hal sama, kesejagatan dunia pastinya bertambah lebih baik.

“Saya percaya semakin masa berlalu, kita semua akan menjadi kesatuan yang sempurna. Kanak-kanak sekarang pun semakin ambil berat kepada planet sekarang. Hakikatnya, idea itu sendiri membuktikan mereka jauh lebih mengambil berat berbanding generasi saya,” katanya.

Pemenang dua kali pada anugerah Oscar itu juga mengakui terinspirasi daripada perarakan ‘March for Our Lives’ dibuat pelajar di Amerika Syarikat pada 2018. Perjuangan itu baginya sangat membuka mata.

“Saya turut menyertai acara itu apabila jutaan anak muda berarak di Washington. Mereka melaungkan mengenai hidup mereka terancam dan mengutarakan isu pemilikan senjata. Mereka berarak bukan sekadar satu tujuan tapi untuk nyawa mereka.

“Saya sangat kagum dan sentiasa terinspirasi dengan idea orang muda. Saya sentiasa berharap kita bersama-sama akan terus menjadikan dunia lebih baik,” katanya.

The Midnight Sky berkisar dunia pasca apokalips apabila manusia terpaksa berdepan ancaman kepupusan. Augustine memutuskan untuk tinggal di dunia manakala manusia lain diterbangkan ke planet lain.

Selain Clooney, filem itu turut dibintangi Felicity Jones, David Oyelowo, Kyle Chandler, Demi·n Bichir, Tiffany Boone dan pendatang baharu, Caoilinn Springall. Ia ditayangkan di Netflix bermula 23 Disember ini.