Ekonomi AS tidak perlu dibuka lagi – Gabenor

Gabenor menggesa Trump tidak membuka ekonomi AS lagi ketika angka kematian akibat COVID-19 mencecah 40,000. – Gambar REUTERS/Andrew Kelly

"JANGAN buka ekonomi Amerika Syarikat (AS) lagi."

Demikian kesimpulan gesaan gabenor-gabenor di negeri yang terjejas teruk akibat COVID-19 kepada Presiden AS, Donald Trump ketika angka kematian di negara itu mencecah 40,000 kes.

Mereka turut menempelak Trump yang mengeluarkan kenyataan AS mempunyai kit ujian yang cukup dan harus segera membuka semula ekonomi.

Di sebalik penurunan kes positif di New York iaitu negeri paling teruk terjejas, gabenornya, Andrew Cuomo tetap mahu amalan penjarakan sosial dan kawalan pergerakan dikekalkan.

Ini jelasnya, kerana perjuangan untuk membendung penularan virus itu belum berakhir dan kawalan berterusan perlu dilakukan.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, New York telah melepasi titik tinggi kes COVID-19 dan mula menunjukkan trend penurunan.

Terdapat 507 kematian baharu direkodkan di New York dalam tempoh 24 jam, menurun daripada jumlah tertinggi lebih dari 700 sehari.

Setakat ini, AS mempunyai jumlah kes positif COVID-19 tertinggi di dunia, dengan lebih daripada 755,000 jangkitan manakala 3.8 juta rakyatnya telah menjalani ujian saringan.