Eksperimen ‘Yang Benar Aku’

SETIAP kali muncul dengan single baharu, tentunya nama Bunkface menjadi sebutan dan itu membuktikan karya mereka masih memberikan impak kepada pendengar.

Terbaharu, Bunkface yang dianggotai Sam (penyanyi, gitar), Youk (bass) dan Paan (gitar) hadir dengan single berjudul Yang Benar Aku.

Apa yang menarik, karya mereka kali ini adalah hasil eksperimen kerjasama bersama Faizal Tahir yang ada sedikit perbezaan berbanding lagu-lagu mereka sebelum ini.

Sam berkata, kali terakhir mereka menghasilkan single adalah beberapa bulan lalu iaitu Tolong yang ditujukan buat masyarakat yang ketika itu menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kali ini, kami bereksperimen dengan muzik dan cuba sajikan satu karya yang berbeza kerana mendapat sentuhan Faizal Tahir,” katanya.

Menurutnya, jika diamati, pendengar tentunya dalam mendengar sedikit identiti muzik Faizal.

“Seperti yang semua sedia maklum, Faizal ada identitinya tersendiri dalam berkarya. Walaupun Yang Benar Aku disampaikan oleh kami, ada beberapa elemen ‘bunyi’ daripada Faizal yang dapat dikesan.

“Pada awalnya, kami sendiri pun rasa kekok, tapi untuk merasakan dan memberikan sesuatu ‘rasa’ yang berbeza, kami cuba mengadaptasi karya kali ini,” katanya.

Menurutnya, pengalaman bekerja dengan Faizal juga menjadi satu pengalaman baharu buat mereka.

“Kami pernah bekerja dengan Faizal, tapi kalau dalam penghasilan satu karya yang lengkap sebegini, ini adalah pengalaman pertama.

SINGLE terbaharu Bunkface dapat sentuhan Faizal Tahir yang ada sedikit  berbeza daripada lagu sebelumnya.  FOTO: Rohanis Shukri
SINGLE terbaharu Bunkface dapat sentuhan Faizal Tahir yang ada sedikit berbeza daripada lagu sebelumnya. FOTO: Rohanis Shukri

“Apa yang boleh dikongsikan, arah tuju lagu ini pada awalnya sedikit berbeza, namun, selepas beberapa perbincangan, ada penambahbaikan daripada Faizal dan pasukannya.

“Dia juga banyak berkongsi nasihat kepada kami dan paling penting, kerja berjalan dengan lancar,” katanya.

Berkongsi mengenai jalan cerita yang dipaparkan dalam Yang Benar Aku, Sam berkata, ia adalah lagu untuk anak-anak mereka.

“Jika diamati, lirik lagu ini berkisar mengenai anak-anak dan mesej yang ingin kami sampaikan kepada anak-anak kami. Pada masa sama, kami juga nak menyentuh jiwa ibu bapa di luar sana,” katanya.

Sebelum ini, nama Bunkface pernah menjadi bualan apabila melahirkan lagu, yang ‘menghentam’ golongan LGBT berjudul Akhir Zaman.

Sam berkata, ada beberapa lagi yang bersifat berani sebegitu akan diterbitkan mereka di masa akan datang.

“Lagu-lagu kami sekarang perlulah yang dapat meninggalkan kesan. Insya-Allah, akan ada lagi karya-karya yang ‘berani’.

“Kami mengaplikasikan kebebasan bersuara dalam berkarya dan kebanyakan karya kami, ada yang berkaitan dengan isu semasa,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman berdepan situasi dalam krisis pandemik Covid-19, Bunkface juga tidak menafikan banyak berdepan kerugian.

“Sepanjang PKP saja, kami terpaksa membatalkan sebanyak 15 persembahan. Ia adalah satu pengalaman yang dahsyat buat kita semua dan tak pernah berdepan perkara sebegini.

“Sehingga kini, kami pun tak berani untuk merancang apa-apa lagi buat sementara waktu kerana tak tahu apa akan berlaku dalam masa terdekat.

“Namun, sementara itu kami kini sedang merakamkan single baharu untuk dimasukkan dalam koleksi kami selepas ini,” katanya.