Empat kluster masih ada kes positif baharu [METROTV]

EMPAT kluster jangkitan Covid-19 yang dikesan di negara ini masih mempunyai kes positif baharu hasil ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster itu adalah kluster import dari Itali, persidangan agama di gereja di Kuching, Sarawak, kenduri perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor dan perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur.

“Kluster import dari Itali mempunyai pertambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 41 kes dan lima kematian.

“Persidangan agama di gereja pula mencatatkan pertambahan 24 kes dengan keseluruhan 110 kes dan dua kematian.

“Kluster kenduri ada pertambahan dua kes dengan jumlah kes terkini adalah 94 orang dan 15 orang sembuh. Setakat ini tiada kematian, namun begitu ada empat dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kluster terbesar iaitu perhimpunan tabligh pula merekodkan pertambahan 25 kes dengan jumlah terkini seramai 1,682 orang,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Sementara itu, Dr Noor Hisham berpuas hati dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokasi apabila menunjukkan kemajuan baik dalam mengesan pesakit dan memberi rawatan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD untuk tempoh dua minggu dilihat mencapai matlamat KKM dan menunjukkan hasil positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19