Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran

Betong: Dua kanak-kanak perempuan bersama ibu saudara dan nenek mereka rentung dalam kebakaran sebuah kedai runcit di Kampung Dit, Debak di sini, hari ini.

Kanak-kanak itu yang juga sepupu berusia enam dan 10 tahun, bersama ibu saudara umur 23 tahun dan nenek 60 tahun ditemui berdekatan satu sama lain bersama nenek yang berusia 60 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian pada 2.47 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerah ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan tiba pada 3.41 pagi dan mendapati kedai runcit setingkat itu sudah musnah 100 peratus.

“Tiada operasi pemadaman dijalankan kerana kebakaran berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung.

“Terdapat empat orang mangsa terperangkap kerana gagal menyelamatkan diri dan pemeriksaan anggota mendapati semua mangsa rentung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat keempat-empat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya lagi, anggota BBP Betong mengambil masa untuk tiba di lokasi disebabkan faktor lokasi dan jalan agak sempit selain tiada kemudahan talian telekomunikasi.