Enggan tunda perkara baik

CINTA adalah anugerah terindah dan akan membuat kehidupan seorang manusia yang berpasangan itu berjalan lebih manis dan bermakna.

Siapa sangka, selepas hampir setahun berkenalan pasangan selebriti popular Ayda Jebat dan Nabil Mahir nekad untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu bertunang.

Tanggal 28 April lalu, menjadi detik bersejarah apabila pasangan ini selamat bertunang sempena hari kelahiran Nabil yang ke-32.

Apa yang menarik, majlis pertunangan itu berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun Ayda mengakui tidak terlepas daripada menerima mesej peribadi di Instagram (IG), apabila ada netizen mempertikaikan tindakannya bertunang secara dalam talian (online) dan seakan tidak sabar hingga terpaksa melakukannya sendiri.

Ayda berkata, dia mengakui segala persiapan majlis pertunangannya itu dilakukan secara DIY (Do It Yourself) dan bersyukur majlis terbabit berjalan dengan sempurna.

“Alhamdulillah majlis bertunang berjalan seperti yang diharapkan dan berlangsung dengan baik.

Sejujurnya, apabila PKP dikuatkuasakan, kami terfikir untuk menunda acara bermakna itu. Tetapi, keluarga Nabil mahu semua berlangsung dengan cepat.

“Kalau boleh, mereka mahu kami bernikah secepat mungkin, tidak mahu tunggu lagi. Jadi, bagi menghormati permintaan keluarga, saya dan Nabil tampil dengan idea menganjurkan majlis bertunang secara online.

“Tidak dinafikan, selepas majlis bertunang saya ada menerima mesej peribadi yang mempertikaikannya. Namun saya enggan ambil pusing meski pun ada yang mengatakan saya perlu menundanya.

“Bagi saya, kalau semuanya sudah tersusun indah mengapa saya perlu lewatkan hal yang baik. Alhamdulillah saya gembira dengan majlis ini, cuma mungkin ada keluarga dan kenalan yang berasa kurang senang kerana majlis pertunangan itu tidak dibuat seperti diharapkan.

“Namun setahu saya setakat ini mereka faham dengan keadaan yang berlaku dan tumpang gembira dengan majlis ini,” katanya mamaklumkan majlis bertunang online itu disertai kira-kira 20 ahli keluarga daripada kedua-dua pihak.

Barangkali, ramai juga yang tidak tahu sebenarnya segala persiapan dilakukan secara ‘sendiri- sendiri’ oleh Ayda dan Nabil.

Katanya, dia menggunakan tiga telefon bimbit dan dua komputer riba untuk video rasmi majlis pertunangannya itu.

“Semuanya saya buat sendiri. Daripada solekan sehinggalah gambar hantaran dan video pertunangan. Saya menggunakan segala apa yang ada untuk memastikan momen ini dirakamkan dengan penuh indah,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh perkahwinan, penyanyi yang popular dengan lagu Temberang itu belum dapat berkongsi butiran lanjut mengenainya.

“Tarikh sebenarnya sudah ditetapkan tapi masih belum dapat saya kongsikan lagi. Jangan risau, kami akan umumkan nanti,” katanya.

AYDA buat persediaan sendiri daripada solekan hingga gambar hantaran, video pertunangan bagi memastikan momen dirakam penuh indah.
AYDA buat persediaan sendiri daripada solekan hingga gambar hantaran, video pertunangan bagi memastikan momen dirakam penuh indah.

Nabil matang, pandai jaga hati

Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah istimewanya Nabil di mata Ayda sehingga mereka nekad untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan cinta yang baru dijalin.

Memandangkan ramai juga yang pasti ingin tahu jawapannya, Ayda membongkar sikap Nabil yang ramai tidak tahu dan jarang dikongsikan kepada umum.

“Saya akui kadangkala saya juga tertanya-tanya kenapa nekad memilih dia. Namun, jujur saya amat tertarik dengan sikapnya yang lebih banyak baik daripada apa yang saya tak suka.

“Paling penting, dia dan keluarganya mempunyai pegangan agama yang kuat dan saya percaya dia (Nabil) mampu membimbing saya ke arah yang lebih baik.

“Nabil juga pandai menjaga hati dan tidak suka melakukan perkara yang saya tak suka. Meski pun, ramai yang mungkin beranggapan dia seperti belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini tapi khalayak hanya melihat secara luaran dan tidak mengenalinya secara dekat,” katanya.

Drama Bukan Gadis Biasa

Melihat pula maklum balas positif yang diterima sehingga drama yang dibintangi iaitu Bukan Gadis Biasa berjaya sohor kini atau ‘trending’ hampir setiap hari, Ayda mengakui teruja dan bersyukur dengan penerimaan baik penonton.

Ayda berkata, memegang watak sebagai wanita berperwatakan kasar bukan semudah yang disangka kerana mengakui berdepan kesukaran semasa melakonkan karakter Jo.

Katanya, selama tiga bulan penggambaran, dia perlu mengenakan pakaian khas untuk memastikan watak itu dibawa dengan berkesan.

“Saya perlu memakai bengkung atau binder (pakaian dalam untuk wanita) selama tiga bulan masa penggambaran drama ini untuk menjadi watak Jo itu.

“Tak tahulah, macam mana pengkid boleh pakai benda ini setiap hari. Jujur, ia amat menyakitkan dan panas. Bayangkan orang yang memakai berpuluh tahun itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda memberitahu drama berkenaan juga memberi banyak pengajaran kepadanya untuk tidak menilai seseorang daripada aspek luaran semata-mata kerana di sebalik keperibadian itu pasti ada kebaikannya.