Erin tak tahu perkahwinannya tak dapat restu isteri Farhan

BEKAS isteri pendakwah bebas, Da’i Farhan iaitu Noorainul Naqim Mohd Radzi, 40, bersetuju untuk menjadi isteri kedua Farhan kerana menyangka dia sudah mendapat kebenaran untuk berpoligami daripada isteri pertamanya ketika itu, Fatin Nurul Ain.

Noorainul Naqim atau dikenali sebagai Dr Erin tidak menyangka pernikahan mereka itu sebenarnya tidak direstui Fatin.

“Saya terima pinangan Farhan kerana saya diberitahu dia sudah dapat persetujuan daripada isterinya. Demi Allah kami tidak pernah berniat untuk menyembunyikan pernikahan kami.

“Dia menghantar permohonan berpoligami pada 10 Oktober tahun lalu. Dalam fail itu permohonan untuk kebenaran berpoligami juga sudah lengkap. Dia juga berulang-alik ke Kedah berjumpa ayah saya untuk mengisi segala borang yang diperlukan bagi permohonan pernikahan. Ujian HIV juga sudah dibuat,” katanya.

Melihat kesungguhan Farhan melengkap permohonan itu membuatkan Erin percaya ia sudah mendapat restu isteri pertamanya ketika itu.

“Saya langsung tidak terfikir Fatin sebenarnya tidak merestui pernikahan itu kerana Farhan bersungguh-sungguh melengkapkan segala borang dan menghantarnya. Bagi saya, jika dia tak dapat kebenaran atau restu isterinya, takkanlah dia akan menghantar permohonan berpoligami kerana ia akan membuang masa,” katanya.

Erin berkata, Farhan memang akan ke Makkah setiap bulan atas urusannya sebagai mutawif.

Menurut Erin, dia mengambil keputusan mengikut Farhan yang menjadi mutawif untuk rombongan jemaah umrah pada 13 Oktober tahun lalu dan bersetuju untuk melangsungkan pernikahan mereka di Makkah keesokannya.

Dalam pada itu, Erin mendakwa dia hanya mengecap kebahagiaan bersama Farhan selama dua bulan saja sebelum masalah mula timbul.

“Dalam tempoh itu kehidupan saya sebagai isteri kedua sangat harmoni kerana Farhan menjalankan tanggungjawab dengan adil. Dia akan tidur bergilir-gilir di rumah saya dan rumah madu selang sehari. Selama dua bulan itu saya langsung tak tahu jika ada masalah di pihak madu kerana dia tak pernah bercerita.

“Saya ingat semuanya okey dan aman damai. Mereka sekeluarga juga pernah bercuti ke Melaka walaupun waktu tu adalah giliran saya. Saya mengalah kerana faham keadaan madu masa tu. Untuk jadi perampas jauh sekali nak buat orang bercerai memang tak terlintas di fikiran,” katanya.

Erin berkata, masalah bermula apabila Farhan mula rindukan keluarga dan anak-anaknya bersama bekas isteri.

“Dia kata tak boleh berjauhan dengan anak-anaknya. Dia juga diberi syarat supaya menceraikan saya jika mahu tinggal bersama anak-anaknya kerana mentuanya tidak mahu anak mereka bermadu. Saya reda jika ini ujian saya untuk kehilangan orang yang saya sayang daripada melihat dia susah hati rindukan anak,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Farhan dan Fatin bagi mendapatkan reaksi mereka berhubung dakwaan ini tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak dijawab dan mesej WhatsApp tidak dibalas.

Terdahulu, Erin mengaku sudah diceraikan Farhan pada 27 April lalu atau kerelaannya. Ia dibuat berikutan Farhan tidak boleh berjauhan dengan anak-anak bersama Fatin selain syarat yang ditetapkan bekas isterinya itu.

Perkahwinan mereka mendapat perhatian ramai apabila Farhan mendakwa Erin yang juga ibu tunggal anak lapan adalah wanita ke-19 yang berjaya membuka hatinya untuk bernikah selepas menolak lamaran 18 wanita sebagai isteri keduanya.

Perkahwinan itu turut menjadi bahan kecaman netizen terutama apabila Farhan bertindak menceraikan isteri pertamanya yang ketika itu sarat hamil anak kedua.  

 

  Berita berkaitan

  • Da’i Farhan sudah ceraikan Dr Erin