Ezad tak cepat mengalah

KITA merancang dan Allah SWT yang menentukan. Bagaimanapun, perancangan yang kita buat sudah tentu tidak sehebat perancangan daripada Allah yang pasti mengandungi hikmah di sebaliknya.

Justeru, Ezad Lazim tidak pernah mengeluh dengan ujian dan dugaan menimpanya sepanjang 2020 ini, di mana akan melabuhkan tirai sekitar dua minggu sahaja lagi.

Ezad, 41, bersikap positif dengan ujian dilalui apabila beberapa projek yang dirancang sepanjang tahun ini tidak menjadi kenyataan.

“Itu memang ketentuan-Nya. Projek pertama saya untuk menguruskan dewan perkahwinan bersama isteri, Zeana Ramli yang dinamakan Cinta White Ballroom by Ezad Lazim terbengkalai begitu sahaja.

“Bahkan impian kami untuk bersanding semula sempena ulang tahun perkahwinan ketujuh pada 29 Mac lalu juga tak kesampaian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tak tahu apa cerita tempat itu. Rasa malu pula kerana kami dah buat sidang media besar-besaran untuk hebohkan perkara ini. Tapi, apakan daya kerana Covid-19 memusnahkan semua. Nasib baik orang faham dan tak kecam saya,” katanya.

KEMBALI didatangi tawaran menyanyi semula selepas PKP.
KEMBALI didatangi tawaran menyanyi semula selepas PKP.

Pandemik Covid-19 benar-benar menguji Ezad kerana kebetulan dia juga berpindah ke rumah sendiri di Dengkil, Selangor.

Penyanyi lagu Demi Cinta ini mengakui terpaksa berbelanja secara berhemah untuk memastikan wang yang ada mencukupi.

“Memang panik apabila ia berlaku, komitmen pun tinggi. Memang saya terkesan, tapi bersyukur juga kerana ada simpanan. Cuma simpanan kalau terus diguna lama-kelamaan akan habis juga.

“Kalau ikutkan, semua orang terkesan dengan apa yang berlaku. Itu sebabnya timbul idea untuk saya dan isteri berniaga. Kami tak mahu mengharapkan bantuan.

“Bukan saya tak nak bantuan, tapi dalam masa sama kami usaha sendiri. Mujur saya mempunyai isteri yang kreatif cari duit dan pandai berniaga. Zeana usahakan buka kedai jual burger di Dengkil dan Nilai, Negeri Sembilan. Ada juga rezeki,” katanya.

Ezad berkata, dia kembali didatangi tawaran menyanyi semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, pendapatannya sekadar dapat melunaskan pembiayaan keperluan semasa dan bukan untuk bermewah.

“Wang yang dapat sekarang hanya untuk selesaikan komitmen bulanan. Kalau kata nak menyimpan seperti dahulu memang tak dapatlah.

“Kalau duhulu, wang hasil nyanyian saya dapat gunakan untuk bayar komitmen dan buat simpanan. Sekarang dengan duit berniaga, dapat guna untuk bayar komitmen. Ada juga rezeki kami berniaga. Setengah orang tak dapat peluang ini.

“Syukur sekurang-kurangnya kami berusaha juga. Saya fikirkan tahun mendatang sama ada Covid-19 akan pulih atau sebaliknya. Risau juga, mana tahu jadi makin teruk dan perkara ini tak dapat dijangka,” katanya.

Menurutnya, penyanyi masih sukar mencari rezeki menerusi ‘show’ pada masa ini.

“Memang ‘show’ dah mula ada. Tapi, show yang kami rancang seperti Konsert Exists Reunion 2.0 dan persembahan untuk majlis makan malam belum dibenarkan.

JAYAKAN Konsert 20 Tahun Inteam bersama Exists.
JAYAKAN Konsert 20 Tahun Inteam bersama Exists.

“Ada yang kami pulangkan deposit kepada penganjur dan mereka berikan kami wang saguhati. Masing-masing faham situasi yang berlaku.

“Macam sebelum ini saya buat perniagaan kelengkapan sekolah, sekarang ia terkesan dan belum ada tanda kempen kembali ke sekolah.

“Kami tak cepat mengalah kerana pada masa ini cari peluang jadi rakan niaga, Kopi Badang. Dahulu saya hanya terbabit menjayakan persembahan anjuran mereka.

“Ada juga perancangan nak buka mini market. Tapi, semuanya masih impian. Kami juga nak jadi pembekal santan, manakala Zeana turut merancang nak jadi pembekal barang burger dan ‘frozen food’. Kami akan umumkannya pada masa yang sesuai nanti,” katanya.

Kena cekal, tiada istilah mengalah

Tahun ini juga menyaksikan Ezad kehilangan bonda tercinta, Rosadah Jahaya, 69, yang meninggal dunia pada 7 Ogos lalu. Dia, bagaimanapun tenang dengan apa yang berlaku.

“Selain emak, saya juga kehilangan ramai rakan dalam industri seni. Ia bagi kita peringatan supaya bersedia.

“Ajal datang tanpa kira masa dan ia memberikan satu pengajaran kepada saya dan tentunya kita semua,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjaya seni, Ezad mengakui lebih senang bergerak bebas menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak.

“Saya dah buat lagu duet dengan Idayu berjudul Sampai Syurga terbitan Nova Music, lagu berjudul Leka terbitan Datu Music dan selepas ini dengan NAR Records.

“Saya juga akan berduet dengan kumpulan nasyid Simfoni. Sebenarnya promosi untuk lagu saya agak terganggu kerana PKP.

“Waktu menjayakan Konsert 20 Tahun Inteam bersama Exists baru-baru ini pun, ramai yang tanya berkenaan konsert kami juga. Rasa teruja dan mungkin kami akan buat secara virtual, sama seperti Inteam,” katanya.

Terbaharu, Ezad kembali bergabung dengan Danial Lawak Solo dan Azmi Caliph Buskers dalam program Muzikal Lawak Superstar musim kedua yang disiarkan menerusi Astro Warna bermula 18 Disember ini.

“Kami perlu berdepan cabaran hebat daripada peserta lain. Melawak juga bukan perkara mudah.

“Selain itu, saya baharu selesai berlakon drama Kuba Guling Karipap Pusing terbitan Pena Creative Pictures. Semuanya, gara-gara saya terkesan dengan PKP.

“Dahulu saya sibuk dengan ‘show’ hingga tiada masa untuk berlakon. Sekarang, saya pula yang tawarkan diri dengan penerbit supaya ambil saya berlakon,” katanya.