Fakta auta

“FAKTA mengarut dan hanya akan menyebabkan spesies beruang diburu secara agresif oleh pemburu haram,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berhubung dakwaan hempedu beruang mampu menyembuhkan jangkitan Covid-19.

Menurutnya, tiada bukti saintifik penggunaan hempedu haiwan liar itu mampu memulihkan wabak Covid-19 walaupun pihak kesihatan di Beijing, China, meluluskan penggunaan hempedu haiwan itu dalam rawatan Covid-19.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dilaporkan mengesyorkan penggunaan hempedu beruang dalam rawatan terhadap pesakit Covid-19 yang kritikal.

“Saya bimbang dengan dakwaan ini ( hempedu beruang menyembuhkan Covid-19). Ini boleh meningkatkan kegiatan jenayah pemburuan haram di hutan negara kini.

“Setakat ini terdapat sekitar 500 ekor spesies beruang madu (ursus malayanus) di Malaysia susulan usaha berterusan pihak Perhilitan membasmi kegiatan pemburuan haram,” katanya.

Menurutnya, maklumat berhubung khasiat hempedu beruang itu hanya akan menyebabkan harga organ itu melonjak tinggi dan ini pastinya menarik perhatian pemburu haram dari luar negara.

“Walaupun spesies ini boleh ditemui di Laos, Kemboja, Vietnam dan Selatan China namun hidupan liar itu hampir pupus di negara berkenaan akibat kegiatan pemburuan haram tidak terkawal.

“Kita tidak mahu khazanah alam Malaysia menerima nasib sama seperti di negara lain. Usaha mengekalkannya perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, mitos yang mendakwa tanduk badak sumbu dan sisik tenggiling boleh menyembuhkan penyakit tertentu menyebabkan haiwan liar itu hampir pupus kini.

“Mungkin secara kebetulan ada yang sembuh selepas memakan organ atau bahagian haiwan liar ini sebelum ia disebarkan tanpa bukti perubatan.

“Apa yang saya tahu, hempedu beruang sekian lama dipercayai secara tradisional mampu menyembuhkan luka dalaman biarpun tiada bukti santifik,” katanya.

Menurutnya, hempedu beruang ini biasanya dikeringkan dan dipotong kecil sebelum dicampur minuman atau dijadikan serbuk.

“Harga untuk pundi hempedu beruang seberat kurang 40 gram boleh mencecah sehingga RM5,000,” katanya.

Menurutnya, seramai 800 petugas Perhilitan sentiasa melakukan tugas dan menjejaki kumpulan pemburu haram walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan