Fasih bertutur bahasa Mandarin

WALAUPUN pernah menjadi juara program realiti kanak kanak, Ceria Popstar musim kedua pada 2014, nama penyanyi Masya Masyitah hanya mula menjadi perhatian tahun lalu.Lagu solo berjudul Halimunan ternyata berjaya membantu melonjakkan semula kerjaya nyanyian Masya untuk mewarnai industri hiburan tanah air.Kini, Masya muncul dengan lagu baharu berjudul Hapus dan setakat ini video muziknya sudah mencatat lebih 671,000 tontonan di YouTube yang menampilkan pembabitan pelakon Hun Haqeem.Bagaimanapun, Masya pada usia 20 tahun ketika ini sudah melakar kejayaan tersendiri dalam hidupnya. Malah, gadis tinggi lampai ini sentiasa berusaha untuk memantapkan taraf kehidupan ke arah lebih baik.Sudah berjaya memiliki kediaman sendiri yang dibeli hasil usaha dan titik peluh mengumpul pendapatan sebagai penyanyi, Masya berkata, dia sekadar berkongsi inspirasi.Katanya, dia seorang yang suka berdikari dan memang sudah lama menyimpan impian untuk memiliki aset sendiri seperti rumah dan kereta.”Saya masih muda dan apabila sudah ada aset sendiri, ia perkara yang sangat disyukuri. Bukan saya cuba bersikap riyak atau menunjuk-nunjuk, tapi mahu berkongsi inspirasi.”Tidak semestinya pada usia muda ini kita perlu bergantung sepenuhnya dengan keluarga. Jika sudah ada rezeki lebih, belilah aset kerana ia pasti membuat kita sangat menghargainya.”Saya sudah menyanyi sejak berusia sembilan tahun. Banyak juga pertandingan menyanyi saya sertai dan hasil daripada simpanan itu, saya beli aset peribadi. Ia untuk masa depan,” katanya.

Berbicara mengenai kerjaya nyanyian, Masya berkata, dia baru terbabit dengan Konsert Mysista di Genting Highlands bersama Jeryl Lee yang juga persembahan ketiganya di pusat peranginan terkemuka itu.

Mengulas juga pembabitannya yang dilihat sering menyanyikan semula lagu bahasa Mandarin, Masya berkata, dia boleh bertutur bahasa itu kerana pernah belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chio Min, Kulim, Kedah.

“Bapa mahu saya lebih berdikari dan bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum, jadi saya dihantar belajar ke sekolah itu dari tingkatan satu hingga lima. Namun, ketika tingkatan tiga baru saya boleh bertutur Mandarin.

“Saya tiada asas pun mulanya, tapi keluarga hantar ke kelas persendirian setiap minggu untuk saya belajar menguasai bahasa berkenaan. Alhamdulillah, sekarang saya bolehlah bertutur bahasa Mandarin dengan baik,” katanya.

Masya atau nama sebenarnya Siti Nur Masyitah Yusoff berkata, kejayaannya dalam kerjaya dan kehidupan kini adalah hasil sokongan padu ibu bapanya.

Katanya, pilihan bapa yang melatih dia berdikari sejak kecil sangat tepat.

“Sekarang, walaupun masih aktif menyanyi, saya mula menceburi perniagaan sedikit-sedikit. Saya menjual kek, popia dan kuih-muih hasil air tangan sendiri.

“Saya suka mencuba dan berusaha. Alhamdulillah, tak sangka juga percubaan dilakukan itu berhasil walaupun baru beberapa bulan mula berniaga. Terima kasih kepada peminat yang menyokong saya,” katanya.

Ditanya mengenai rakaman lagu baharu, Masya berkata, semuanya masih dalam perancangan bersama pihak label dan dia enggan mengambil langkah terburu-buru tanpa hala tuju.

Takkan sesekali buka tudung

Memaklumkan dia sentiasa bersedia mencari peluang menyertai pertandingan nyanyian di luar negara, Masya berkata, dia pernah bertanding di Hong Kong pada 2015.

Bagaimanapun, tahun lalu Masya sepatutnya bertanding dalam satu pertandingan realiti TV di China, namun dia akur tidak dipilih kerana syaratnya tidak boleh memakai tudung.

“Saya sudah berada di China ketika itu. Selepas berjaya dalam uji bakat disertai, saya dimaklumkan perlu membuka tudung jika mahu bertanding.

“Akhirnya saya tarik diri. Saya takkan sesekali sanggup membuka tudung hanya disebabkan mahu menyertai pertandingan menyanyi. Biarlah, itu bukan rezeki saya agaknya.

“Pada saya, secara positif banyak pertandingan menyanyi lain yang boleh disertai lagi pada masa akan datang. Apa yang penting, saya mesti berpegang teguh dengan keyakinan dan prinsip diri,” katanya.

Mengakui tidak sedikit pun berasa kecewa atau ralat, Masya berkata, dia juga lebih fokus mahu menyertai pertandingan nyanyian yang menilai vokal saja.

Katanya, dia belum mahir bermain muzik atau menari.

Mengulas juga pembabitan dalam pertandingan seperti Big Stage, Masya berkata, dia berhasrat mahu menyertainya, tetapi belum ada rezeki.

Katanya, jika dia berpeluang menyertai Big Stage, dia perlu memantapkan vokal terlebih dahulu kerana tidak mahu tersingkir awal dan gagal bertahan hingga ke minggu akhir.