Fieya tak kisah

BARU dua tahun menongkah arus kehidupan sebagai selebriti, penyanyi Fieya Julia menyimpan impian besar untuk kerjaya seninya dan mahu lebih dikenali peminat.

Menurut anak jati kelahiran Sarawak berusia 21 tahun ini, di antara dia dan lagu Perasaanku nyanyiannya, ternyata karya itu yang lebih popular berbanding dirinya.

Apapun, ia tidak melemahkan semangat Fieya untuk mengatur langkah mengukuh nama dan bakat nyanyian dimiliki.

Justeru, dilihat inisiatif dilakukan Fieya kini adalah kerap melakukan ‘IG Live’ di platform Instagram.

Kata anak bongsu dalam keluarga ini, dia seronok melayan peminatnya.

“Saya seorang yang suka berbual. Jadi, melalui ‘IG Live’ itu saya dapat meluangkan masa menjawab segala pertanyaan peminat. Malah, turut berkongsi pendapat dengan mereka.

“Antaranya, saya akan tanya genre lagu apa yang disukai mereka, begitu juga gaya bagaimana sesuai dengan saya dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, sangat positif,” katanya

Menurut Fieya, di ‘IG Live’ itu bukan hanya peminatnya sahaja yang turut serta tetapi ‘haters’ juga mendapat peluang. Apapun, dia cuba melayan semuanya sebaik mungkin.

“Saya fikir, pada masa sekarang nak buat sesi beramah mesra dan bertemu peminat pun tidak sesuai. Bahkan, jumlah peminat yang boleh sertai juga terhad.

“Jadi, dengan pendekatan di ‘IG Live’, ia lebih mudah dan sesiapa sahaja termasuk ‘haters’ boleh menyertainya. Mereka berpeluang untuk bertanya apa sahaja soalan dan saya pasti menjawab.

“Bagi saya, kaedah berbual dengan peminat atau ‘haters’ di ‘IG Live’ ini berkonsep terbuka. Apapun, setakat ini saya gembira melakukannya kerana suka berkawan,” katanya.

Fieya yang tampil dengan lagu solo kedua berjudul Seperti Ini bersyukur dengan maklum balas diterima peminat.

RELA lagu lebih popular kerana miliki impian lebih besar.
RELA lagu lebih popular kerana miliki impian lebih besar.

“Apapun, terima kasih kerana terus menyokong kerjaya seni saya. Alhamdulillah, kalau pada awal kemunculan dahulu memang ramai yang tak kenal saya.

“Sebenarnya, sebelum menyertai Big Stage tahun lalu saya sedar betapa kebanyakan pendengar hanya tahu mengenai lagu Perasaanku sahaja berbanding siapa penyanyinya.

“Kini, semakin ramai yang tahu nama Fieya Julia. Malah, daripada kelompok peminat saya dari Sarawak sebelum ini, sekarang sudah satu negara.

Bahkan, melalui Big Stage juga saya sudah ada pengikut dan peminat dari negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia yang memberikan sokongan mereka,” katanya.

Menurut Fieya, hingga kini tawaran menyanyi untuknya juga makin banyak dan jadual agak padat.

Pilih Luqman Faiz?

Walaupun sudah menyiapkan lagu solo terbaharu berjudul Penantian yang akan dilancar tidak lama lagi, Fieya juga berhasrat tampil menyanyi duet seperti penyanyi lain.

Ditanya siapa rakan duet pilihannya, Fieya berkata, dia mahu berduet dengan Luqman Faiz.

“Sebenarnya, kalau ada peluang rakam lagu duet saya nak nyanyi dengan Luqman. Ini kerana, sebelum ini kami pernah merakamkan lagu duet untuk meraikan Aidilfitri.

“Jadi, jika ada peluang kerjasama yang baharu dengan Luqman, saya nak rakam lagu duet mengisahkan percintaan. Kiranya, lagu yang boleh selalu orang dengar.

“Macam lagu hari raya, ia dimainkan pada musim perayaan sahaja. Apapun, ini hanyalah harapan saya dan kalau ada peluang nyanyi duet dengan ‘rapper’ pun, saya teringin juga,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Syafiyah Sejali ini, dia suka mencuba perkara baharu. Lagipun ketika di Sarawak dulu dia pernah berduet dengan ‘rapper’

“‘Rapper’ itu kawan baik saya dan selalulah kami nyanyi bersama. Jadi, saya sangat berharap dapat nyanyi lagu duet bergenre hip hop pula selepas ini jika ada rezeki.

“Saya pun tak kisah jika berganding dengan ‘rapper’ baharu. Bagi saya okay asalkan ada rezeki. Apapun, paling penting saya nak cuba dan mempelbagaikan genre lagu,” katanya.

Mengulas juga pembabitan dalam lakonan, Fieya berkata, dia ada minat untuk berlakon. Namun, memandangkan masih baharu dalam bidang hiburan, perasaan takut-takut masih membelenggu dirinya.