Finas tubuh jawatankuasa banteras cetak rompak digital

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui satu mesyuarat bersama ahli perbadanan minggu lalu bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas pembanterasan cetak rompak digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu akan menjadi tonggak kepada industri filem sekiranya berlaku kes seumpama itu pada masa akan datang.

“Finas mengambil maklum isu filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) yang dijual secara haram di sebuah platform e-dagang. Disebabkan itu, kami bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani masalah cetak rompak digital yang semakin membimbangkan di negara ini.

“Sebelum ini, isu berkaitan cetak rompak dilihat tidak diuruskan secara sistematik. Jadi, saya mengambil pendekatan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini sebagai langkah dalam mencari formula untuk membantu penggiat seni yang teraniaya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ahmad Idham, jawatankuasa khas terbabit bakal diwakili Finas, penerbit dan stesen televisyen bagi membincangkan perkara ini secara komprehensif supaya dapat menggerakkan kerja secepat mungkin.

“Jawatankuasa khas ini juga diwujudkan bagi memudahkan proses kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) .

“Isu cetak rompak ini ada yang di luar kuasa Finas dan tidak boleh ambil tindakan sewenang-wenangnya. Finas memang ada unit penguatkuasaan dan pelesenan, cuma bidang kuasa ini ada had yang ditetapkan.

“Jadi diharapkan penubuhan jawatankuasa khas ini dapat menjadi pusat rujukan untuk membantu penerbit dan penggiat seni,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung tindakan yang bakal diambil Finas berhubung isu cetak rompak filem AADD di platform digital, Ahmad Idham berkata, buat masa ini siasatan masih dijalankan dan melalui proses perundangan untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini, Finas sentiasa memantau dan mengambil isu cetak rompak yang berlaku secara serius. Finas sedang mengkaji lesen pengedaran dan bahan yang dijual secara haram di platform e-dagang terbabit. Semuanya masih dalam siasatan kerana negara mempunyai perundangan yang ditetapkan kalau perlu diambil tindakan.

“Kami sedang meneliti dua perkara iaitu platform e-dagang terbabit serta individu yang menjual filem terbabit secara haram. Adakah mereka mempunyai lesen pengedaran untuk berbuat demikian?” katanya.

Terdahulu, penerbit Datuk Ayu Puteh dilihat lantang bersuara demi memperjuangkan hak miliknya yang dicuri orang dengan mudah dan wajar baginya menuntut ganti rugi sebagai pemilik hak cipta asal.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Ayu bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta, susulan pihak terbabit didapati menjual filem AADD terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram di platform berkenaan.

Filem yang dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Apa jadi dengan tauke cetak rompak? – Ayu Puteh
  • Rombak semula akta Finas
  • Filem Townmall pun dijual RM1
  • ‘No more tin kosong, FINAS!’ – Ayu Puteh
  • Puas hati kerjasama polis, Ayu Puteh serius nak bertindak!
  • Kismah terkilan, janganlah makan untung atas angin…
  • Pihak filem Keluarga Iskandar pun ambil tindakan undang-undang
  • Shopee senarai hitam kata kunci berkaitan filem
  • Jual filem RM1, Penerbit AADD saman e-dagang RM50 juta