‘Front liners layan kami baik’

“ADA sedikit rasa bersalah pada petugas barisan hadapan yang menguruskan kami.

“Ini kerana, mereka sangat baik serta prihatin. Kami bimbang apa yang perlu kami lalui ini menyusahkan mereka,” kata seorang perunding kewangan yang baru tiba dari Jeddah, Arab Saudi kelmarin, selepas tiga bulan bertugas di negara berkenaan.

Menurutnya yang enggan dikenali, dia serta kira-kira 80 yang lain tidak merungut dengan apa yang dilakukan petugas berkenaan kerana memahami tugas penting yang perlu dilaksanakan.

“Petugas ini cukup profesional malah melayan kami dengan penuh hormat,” katanya.

Menyentuh mengenai jolokan ‘kluster kayangan’ membabitkan mereka yang pulang dari luar negara, dia berpandangan, dalam situasi pandemik ini, semua pihak perlu bekerjasama.

“Kami cukup bersyukur kerana Malaysia terus menerima kembali rakyatnya yang bertugas di luar negara,” katanya.

Menurut beliau, sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bas untuk membawa mereka ke lokasi kuarantin sudah sedia menanti.

“Kumpulan petugas ini cukup cekap mengendalikan kami dengan semuanya lengkap dan tersusun menjadikan proses saringan lancar meskipun ia berjalan hampir empat jam.

“Semua prosedur kami patuhi malah penjarakan sosial turut membabitkan tempat duduk dalam bas,” katanya.

Menurut beliau, suhu badan mereka turut diperiksa selain setiap beg disanitasi.

“Kami ditempatkan di pusat kuarantin Hotel Marriot, Putrajaya. Makanan turut disediakan sebaik tiba di KLIA selain bilik hotel.

“Saya cukup lega dapat kembali kerana lebih mudah berada di negara sendiri sepanjang pandemik berbanding di luar negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19