‘Gadis Corona’ urus jenazah

SEKUMPULAN wanita di Qom, Iran sanggup mengambil tanggungjawab menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di hospital di negara itu.

Ia selepas peningkatan jumlah kematian akibat wabak itu menyebabkan ada jenazah tidak diuruskan sehingga selepas lima hari pesakit meninggal dunia.

BBC Indonesia melaporkan, pasukan sukarelawan itu digelar Corona Ladies kerana sanggup mengambil risiko demi untuk menguruskan jenazah.

Pasukan ini menggunakan slogan ‘jika kamu tidak memiliki keberanian seekor singa, kamu tidak akan mampu melakukan perjalanan cinta’ .

Bagi melancarkan tugas, mereka dibahagikan kepada tiga pasukan dan masing-masing bergilir-gilir bertugas setiap tujuh jam.

Ada sukarelawan memberitahu mereka tidak mampu menahan kesedihan terutama ketika menguruskan jenazah pesakit muda.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan petugas bilik mayat dikelilingi puluhan jenazah.

Video itu dipercayai dirakam di Qom, Iran yang menjadi pusat penularan wabak di negara itu.

Dalam rakaman itu, petugas bilik mayat menyatakan semua jenazah mangsa Covid-19, walaupun BBC tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Iran menjadi negara Timur Tengah paling teruk terjejas akibat Covid-19.

Berdasarkan angka rasmi Kerajaan Iran, lebih 60,000 orang di negara itu dijangkiti wabak berkenaan.

Daripada jumlah itu, lebih 4,000 meninggal dunia.

Bagaimanapun, kumpulan penyelidik Iran berpangkalan di Amerika Syarikat percaya angka sebenar mungkin lebih tinggi.