Gajah sesat masuk hospital

SEEKOR gajah liar berusia lingkungan 10 hingga 15 tahun dipercayai dari kumpulan gajah Tenggara tersesat dan memasuki kawasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, 9 April lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor, Salman Saaban berkata, siasatan pihaknya mendapati gajah dilihat memasuki kawasan hospital berkenaan pada malam kejadian namun tidak dimaklumkan kepada Perhilitan Kluang.

Katanya, gajah berkenaan dipercayai menjadikan Hutan Rekreasi Gunung Lambak sebagai kawasan habitatnya.

“Gajah ini tersesat dari kumpulannya yang dikenali dan sering dilihat berkeliaran di kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Empangan Kahang, kawasan penempatan Jalan Padang Tembak dan Mengkibol.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan mungkin menjadi punca gajah ini berani keluar kerana tiada gangguan kesibukan lalu-lintas atau kehadiran manusia di kawasan berkenaan,” katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Salman, sebelum itu rakaman berdurasi 47 saat tular di Facebook dan anggota Perhilitan Kluang diarahkan untuk membuat siasatan.