Gambar kenang-kenangan guna Facetime

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang jurugambar sambilan, Ahmad Amirrudin Ali Hasan untuk mengambil tawaran menjalankan sesi fotografi.

Sebaliknya, Ahmad Amirrudin memanfaatkan peranti elektronik untuk mengambil gambar pelanggan menerusi penggunaan aplikasi Facetime.

Kreativiti Ahmad Amirrudin mendapat perhatian selepas dia memuat naik gambar dan video ketika sesi fotografi menerusi Facetime di Twitter, malah sehingga kini meraih lebih 37,000 tontonan.

Bercerita lanjut, Ahmad Amirrudin yang menetap di Batu 3, Shah Alam itu berkata, sesi fotografi konsep kehamilan dalam talian diadakan Sabtu lalu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sudah membuat temujanji awal.

Katanya, idea itu tercetus secara spontan dan bertujuan membantu memenuhi permintaan pelanggan berkenaan yang dijangka melahirkan cahaya mata dalam tempoh terdekat.

“Setiap hujung minggu, saya akan mengambil tawaran sebagai jurugambar perkahwinan atau lain-lain majlis mengikut permintaan penganjur.

“Pelaksanaan PKP sedikit sebanyak menyebabkan kerja saya tergendala dan sesi fotografi ditangguh walaupun pelanggan sudah membuat temu janji.

“Kebetulan, ada pelanggan sepatutnya menjalankan sesi fotografi pada bulan ini dan meminta alternatif dan daripada situlah datangnya idea untuk menjalankan sesi fotografi menerusi Facetime saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

AHMAD Amirrudin (gambar kanan) menjalankan sesi fotografi bersama pelanggannya menerusi Facetime. FOTO Ihsan Ahmad Amirrudin Ali Hasan
AHMAD Amirrudin (gambar kanan) menjalankan sesi fotografi bersama pelanggannya menerusi Facetime. FOTO Ihsan Ahmad Amirrudin Ali Hasan

Demi memastikan hasil gambar diambil memuaskan, Ahmad Amirrudin meminta pelanggannya itu mengambil gambar sudut tertentu di dalam rumah dan menghantar kepadanya sehari lebih awal.

Katanya, ia bertujuan membantunya mengetahui sudut terbaik dan mengatur sesi fotografi itu supaya berjalan lancar.

“Sesi fotografi itu diadakan pada sebelah pagi kerana mengambil kira faktor pencahayaan dan berlangsung selama sejam.

“Berbanding dengan sesi fotografi sebelum ini, kaedah dalam talian memerlukan kerjasama pelanggan untuk meletakkan telefon bimbit di sudut yang saya kehendaki.

“Susah sebenarnya kerana jika menggunakan kamera, saya dapat melaraskan mod mengikut yang diinginkan tetapi menerusi Facetime, saya perlu mengambil terus gambar yang dirasakan cantik,” katanya yang aktif sebagai jurugambar sambilan sejak 2014.

Meskipun lari daripada kelaziman, Ahmad Amirrudin bersyukur kerana pelanggan berpuas hati dengan hasil kerjanya itu.

Katanya, maklum balas positif itu memberinya semangat untuk mengambil lagi tawaran sesi fotografi secara dalam talian.

“Saya tidak sangka perkongsian itu mendapat perhatian, rupanya ramai tidak tahu aplikasi Facetime boleh digunakan untuk mengambil gambar.

“Ramai beri komen positif tetapi ada juga warganet mempersoalkan mengapa pasangan suami isteri itu tidak mengambil sendiri gambar menggunakan mod tetapan masa.

“Apa pun, saya bersyukur kerana sudah menerima beberapa tawaran daripada pelanggan yang mahu mengadakan sesi fotografi dengan kaedah serupa termasuk daripada pasangan pengantin baru yang bernikah secara dalam talian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan