Gara-gara takut Covid-19

Chicago: Kerana takut untuk menaiki penerbangan pulang ke Los Angeles berikutan Covid-19, seorang lelaki India bertindak tinggal di kawasan larangan di lapangan terbang antarabangsa di sini, selama tiga bulan.

Aditya Singh, 36, akhirnya dikesan pihak berkuasa dan ditangkap pada Sabtu lalu selepas didapati menetap di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago sejak 19 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa di mahkamah kerana kesalahan menceroboh dan jenayah mencuri, lapor media tempatan yang dipetik Gulf News.

Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa Aditya Singh yang juga penganggur tiba dari Los Angeles pada 19 Oktober 2020 dan secara haram tinggal di zon keselamatan lapangan terbang O’Hare tanpa dikesan.

Dia didakwa hanya ditangkap apabila dua kakitangan United Airlines memintanya menunjukkan pengenalan diri, yang mana Aditya Singh kemudian menunjukkan lencana milik pengurus operasi yang dilaporkan hilang pada Oktober lalu.

“Aditya Singh menemui lencana kakitangan itu dan takut untuk pulang kerana Covid-19,” kata Penolong Peguam Negara Kathleen Hagerty di hadapan Hakim Susana Ortiz.

Ortiz yang terkejut dengan kes itu mengenakan larangan ke atas Aditya Singh untuk memasuki lapangan terbang jika dia dapat membayar $1,000 (RM4,050) sebagai jaminan dan menetapkan 27 Januari untuk sebutan semula kes.

“Berada di bahagian keselamatan lapangan terbang dengan lencana identiti palsu, (dan) berdasarkan keperluan untuk lapangan terbang sentiasa selamat supaya orang merasa selesa untuk terbang, (maka) saya merasakan semua tuduhan ini boleh memperlihatkan tertuduh sebagai berbahaya kepada masyarakat,” kata Ortiz.

Sementara itu, Jabatan Penerbangan Chicago yang bertanggungjawab ke atas lapangan terbang dalam kenyataan memberitahu, meskipun insiden itu masih dalam siasatan, pihaknya mendapati lelaki berkenaan tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan lapangan terbang mahupun orang awam.

Peguam bela Courtney Smallwood pula memberitahu Aditya Singh tinggal di pinggir Los Angeles dengan rakan sebilik dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dia tidak bekerja namun memiliki sarjana dalam bidang hospitaliti.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19