Gara-gara tengking dan meludah pekerja KFC, wanita bengkeng ditahan polis Singapura

Polis menambah mereka juga melihat kemungkinan wanita itu melanggar arahan langkah pemutus litar. – Twitter

SINGAPURA: Seorang wanita yang dirakam memarahi dan meludah seorang pekerja KFC di pusat beli-belah NEX, Singapura, hanya kerana tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu pesanan, akhirnya ditahan polis pada Jumaat.

Dalam kenyataan pada Sabtu (25 April), polis memaklumkan wanita berusia 42 tahun itu ditahan atas kesalahan melakukan kekacauan di khalayak umum.

"Siasatan menunjukkan wanita itu memarahi kakitangan berkenaan ketika diberitahu dia perlu menunggu untuk mendapatkan pesanannya," kata polis.

Dalam kejadian yang berlaku pada ketika Singapura menguatkuasakan tindakan pemutus rantaian berikutan ancaman COVID-19, wanita yang gagal emngawal emosi itu memarahi petugas di restoran makanan segera berkenaan, sebelum bertindak melampau dengan meludah ke arah kaunter dan pekerja tersebut.

Wanita itu bagaimanapun sudah meninggalkan premis restoran ketika polis tiba.

Pihak pengurusan restoran makanan segera itu telah membuat laporan polis selepas kejadian, dan telah melakukan proses nyahkuman di premisnya.

"Di KFC, kami mengambil perhatian serius terhadap pelanggan dan pekerja kami. Kami mahu mengingatkan semua pelanggan agar menjaga jarak sosial dan memakai topeng muka seperti yang dikehendaki pihak berkuasa," ujar satu kenyataan rasmi daripada pihak KFC republik itu.

Insiden tersebut telah dirakam oleh orang awam, sebelum ia menjadi tular di media sosial negara tersebut. Rata-rata warganet negara itu menzahirkan rasa marah pada wanita berkenaan yang dilihat bukan sahaja tidak sopan, malah melakukan aksi yang boleh mencetus panik penularan wabak.

Polis republik itu juga menambah, mereka melihat kemungkinan wanita itu melanggar arahan langkah pemutus rantaian yang diumumkan Singapura untuk menangani wabak COVID-19.

Sekiranya didapati bersalah, wanita itu boleh didenda hingga S$2,000 (RM6,120).