Garis panduan sambut Aidilfitri

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan garis panduan bagi sambutan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Garis panduan itu merangkumi kaedah solat sunat Aidilfitri, takbir hari raya, rumah terbuka, ziarah raya dan ziarah kubur yang kebiasaannya menjadi amalan ketika Syawal.

Matlamat penetapan garis panduan itu adalah memberi penerangan kepada masyarakat khususnya umat Islam mengenai kaedah sambutan Aidilfitri.

Solat sunat Aidilfitri di rumah boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah namun ahli keluarga yang dikuarantin tidak dibenarkan turut serta.

Pesakit dan petugas di hospital juga dibenarkan melakukannya tetapi perlu mengikut peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Takbir raya pula digalakkan di rumah manakala hanya rakaman suara imam, bilal dan siak dibenarkan di masjid atau surau.

Meskipun begitu, takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan dan pengendali stesen penyiaran disarankan menyiarkan rakaman yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen ‘rakaman ini dibuat sebelum tempoh PKP’.

Penganjuran rumah terbuka yang menjadi kelaziman juga tidak boleh dilakukan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Begitu juga dengan amalan ziarah menziarahi untuk bersilaturahim yang diganti dengan berhubung menggunakan alat komunikasi dan media sosial sebagai pengganti diri.

Bacaan Yasin dan tahlil di rumah bersama keluarga saja selepas solat sunat Aidilfitri disarankan bagi menggantikan amalan menziarahi kubur pada hari raya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan