‘Gaya baharu’ ke sekolah demi jaga penjarakan sosial

Topi yang diperbuat menggunakan kadbod sepanjang tiga kaki itu dinamakan Topi Satu Meter.

ZHEJIANG: Pelajar sekolah rendah di China kini membiasakan diri dengan memakai topi yang direka sendiri untuk mengingatkan mereka tentang penjarakan sosial.

Topi yang diperbuat menggunakan kadbod sepanjang tiga kaki itu dinamakan Topi Satu Meter.

Gambar yang diambil di Sekolah Yangzheng di wilayah Zhejiang, China Timur menunjukkan murid-murid bukan sahaja menjaga jarak antara satu sama lain, tetapi turut memakai topeng muka.

"Ini adalah idea kreatif kami sendiri. Ia membantu kita mempromosikan slogan jaga jarak satu meter," kata Naib Pengetua sekolah berkenaan, Hong Feng kepada media tempatan.

Ketika jangkitan COVID-19 meningkat di China pada akhir Januari lalu, sekolah dan universiti tidak dibenarkan beroperasi semula selepas cuti Tahun Baru Cina berakhir pada 29 Januari.

Susulan keadaan yang semakin baik, sekolah rendah dan menengah dibenar kembali beroperasi secara berperingkat bermula 13 April lalu.