Gelang ‘pink’ dari kedai haiwan peliharaan rupanya….

DUA individu yang dilihat memakai gelang merah jambu di kawasan parkir Bukit Bendera, Air Itam, Georgetown, disahkan bukan berstatus pesakit di bawah pengawasan (PUS) Covid-19.

Sebaliknya, gelang merah jambu yang mereka pakai adalah dari sebuah kedai haiwan peliharaan dengan tulisan ‘Husky And The Gang’.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada 2 Ogos lalu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang melihat seorang lelaki dan wanita memakai gelang merah jambu di kawasan parkir bukit peranginan itu pada 3.25 petang.

Katanya, pengadu kemudian mengambil gambar pasangan berkenaan lalu membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum identiti mereka dikesan.

“Siasatan mendapati, lelaki berusia 21 tahun itu bekerja sebagai operator kilang dan tinggal di Permatang Tengah, Butterworth.

“Sementara, wanita berusia 22 tahun dari Sungai Puyu, Butterworth itu pula bekerja sebagai pembantu kedai dan mereka adalah pasangan kekasih serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Soffian berkata, kedua-duanya mendakwa ke kedai haiwan peliharaan di New World Park, pada 12.30 tengah hari, 2 Ogos lalu dan dipakaikan tag atau gelang tangan berwarna merah jambu bertulisan ‘Husky And The Gang’ oleh pekerja kedai terbabit.

Katanya, memandangkan pasangan itu ingin ke kedai haiwan itu semula pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang terbabit bagi mematuhi syarat ditetapkan premis itu.

“Pasangan itu mengakui mereka adalah individu di dalam foto tular berkenaan serta mengakui tidak pernah ke luar negara.

“Mereka berada di kaunter stesen kereta api Bukit Bendera pada 3 petang hari sama dan menunggu giliran selama satu jam bagi membeli tiket.

“Disebabkan menunggu terlalu lama, mereka mengambil keputusan untuk beredar sebelum ke pusat beli belah Queensbay,” katanya.

Soffian berkata, semakan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati nama kedua-duanya tiada dalam senarai PUS atau diarahkan menjalani kuarantin di rumah.