Gembira duduk di rumah

BERDEPAN dengan situasi penularan Covid-19 yang tidak dijangka menimpa satu dunia, banyak rancangan tergendala untuk setiap orang. Demikian juga dihadapi penyanyi Haqiem Rusli, 22, yang semestinya sudah menyusun satu persatu perancangan karier seninya.

Namun, ia langsung tidak melemahkan semangat penyanyi lagu Tergantung Sepi itu untuk kembali dengan penuh semangat memeriahkan profil kerjayanya. Bahkan, dia kini tidak sabar untuk melancarkan lagu baharu.

Menurutnya, dia sentiasa berdoa supaya situasi akan kembali seperti biasa selepas ini meskipun akur bahawa kehidupan akan berubah. Namun begitu, dia berharap segalanya akan jadi lebih baik terutama buat golongan pengkarya seni.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya akan keluarkan satu lagu balada moden berjudul Adlina Marie. Saya memang sangat teruja dan tidak sabar untuk memperdengarkan lagu ini.

“Sebenarnya, saya juga ada merancang untuk buat konsert pada tahun ini. Bagaimanapun, nampak gaya hasrat itu tidak kesampaian dan terpaksa batalkan buat masa sekarang.

“Justeru, saya akan fokus kepada pelancaran lagu baharu. Namun, sayangnya tak sempat lagi buat penggambaran muzik video atau apa. Jadi, sama-sama kita doa supaya rantaian Covid-19 dapat berakhir dan penggiat seni boleh terus berkarya,” katanya.

Dalam pada ramai yang terkesan dengan situasi sekarang, Haqiem pula memutuskan untuk terus positif. Dia tidak menafikan, dirinya juga merasai kesan itu apa lagi daripada segi periuk nasinya.

Bagaimanapun, dia bersyukur segalanya masih terkawal untuk dirinya memandangkan dia memang jenis menabung. Meski rindu dengan aktiviti di luar rumah, dia mengambil kesempatan untuk menggunakan masa berfaedah duduk di rumah saja.

“Saya akui, daripada segi pendapatan agak terkesan sedikit kerana ada tawaran yang sudah diterima sebelum PKP terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun, tidaklah banyak mana dan saya tiada masalah daripada segi kewangan pun.

“Ini disebabkan, saya sendiri memang jenis simpan duit untuk masa depan. Justeru, daripada aspek itu tiadalah terasa sangat apa lagi kebanyakan masa pun memang dihabiskan di rumah saja tanpa keluar berbelanja setiap masa.

MENGAMBIL iktibar daripada situasi pandemik Covid-19.
MENGAMBIL iktibar daripada situasi pandemik Covid-19.

“Kesannya, kita memang tidak dapat nak keluar rumah sangat, lepak, bersukan, mahupun aktiviti luar lain. Tapi, tidak mengapalah dan pandemik ini mengajar kita memanfaatkan sepenuhnya masa terutama untuk diri sendiri mahupun bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Haqiem juga berkongsi mengenai kesibukannya tetap seperti hari-hari biasa meskipun berada di rumah sepenuhnya. Tiada istilah bersenang-lenang, bahkan ada saja tugasan perlu disiapkannya setiap hari.

Namun, itulah yang membuatkan dia gembira duduk rumah disebabkan dapat fokus lebih dan tiada gangguan menyiapkan kerjanya. Bukan sekadar menyiapkan banyak lagu, malah dia masih terikat dengan tugasan membabitkan klien juga.

“Daripada segi kerja, tiada beza sangat pun dengan hari biasa disebabkan saya masih perlu bekerja. Banyak tugasan yang saya lakukan dari rumah untuk klien seperti merakamkan video untuk sebuah jenama telefon pintar.

“Tidak ketinggalan, ada juga projek menyanyi secara langsung menerusi platform digital. Selebihnya, saya gunakan seluruh masa untuk siapkan demo lagu, cipta lagu baru, dan menulis lirik,” katanya.

Haqiem juga tidak menyangkal Ramadan kali ini cukup berbeza dan sebenarnya rindu menyambut bulan puasa seperti tahun-tahun lalu. Apapun, dia lebih bersyukur apabila dapat menjalankan lebih banyak ibadah sepanjang berada di rumah.

“Ramadan kali ini amat-amat berbeza namun saya sangat bersyukur disebabkan semua yang berpuasa lebih banyak buat ibadah. Oleh kerana Covid-19, sepanjang masa berada di rumah, tak keluar dan tak sibuk.

“Namun, saya harus akui rindu mahu berbuka puasa di luar, merasai suasana pergi bazar Ramadan, berbuka dengan keluarga mahupun bersama kawan-kawan,” katanya.

Merasai sendiri situasi ini pertama kali dalam hidup, Haqiem berkata banyak iktibar dipelajarinya sepanjang hampir dua bulan ini. Dia juga percaya bahawa setiap yang mengalaminya sendiri pasti akan mengambil teladan daripadanya.

“Selepas lebih 40 hari, iktibar dari semua ini adalah kita harus bersedia dengan apa jua keadaan yang berlaku. Mungkin 10 tahun akan datang, ia boleh berulang, kita tidak tahu lagi, justeru, kita boleh bersedia dari awal.

“Iktibar lain adalah kita lebih menjaga kebersihan serta mengajar untuk lebih bersyukur mengenal diri sendiri di rumah. Sebenarnya banyak lagi, dan terpulang kepada kita bagaimana untuk mengambil teladan daripada situasi ini,” katanya.