‘Gementar, memang tak disangka’ [METROTV]

“GEMENTAR itu tetap ada, malah lebih lagi, namun saya bersyukur kerana majlis pernikahan sempurna hanya dengan sekali lafaz,” kata Muhammad Don Haadi Don Putra.

Muhammad Don, 29, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya sewaktu dan selesai melangsungkan majlis akad nikah secara dalam talian .

Ia sekali gus menjadikan Muhammad Don dan isterinya, Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, sebagai pasangan pertama mengaplikasikan alternatif itu.

Bercerita lanjut, Muhammad Don yang juga penjawat awam berkata, dia berkenalan dengan isterinya tahun lalu dan merancang melangsungkan majlis perkahwinan pada 12 April lalu.

“Persediaan untuk melangsungkan majlis pernikahan dilakukan sejak awal tahun dan kami merancang mengadakannya di sebuah dewan yang sudah ditempah di Kuala Lumpur.

“Namun, hasrat itu tidak kesampaian selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami akur serta bercadang menunda majlis sehingga PKP berakhir.

“Saya, isteri dan keluarga tenang saja serta ikut apa saranan kerajaan tetapi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menasihatkan akad nikah diteruskan secara dalam talian.

“Memang tak disangka tetapi kami setuju dengan apa yang disarankan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MAJLIS pernikahan Muhammad Don yang dilangsungkan secara sidang video disempurnakan dengan sekali lafaz. FOTO Facebook JAWI
MAJLIS pernikahan Muhammad Don yang dilangsungkan secara sidang video disempurnakan dengan sekali lafaz. FOTO Facebook JAWI

Menurut Muhammad Don, sewaktu majlis akad nikah berlangsung, dia berada di rumahnya di Setiawangsa, manakala isteri di Bandar Baru Wangsa Maju dan jurunikah di Wangsa Melawati.

Meskipun hanya bersama keluarga tanpa saudara-mara dan rakan, Muhammad Don bersyukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun, Muhammad Don dan isterinya tetap berhasrat mengadakan majlis meraikan perkahwinan mereka bersama ahli keluarga, saudara-mara dan rakan selepas PKP berakhir kelak.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mengizinkan majlishari ini berjalan dengan lancar walaupun hanya ada ahli keluarga tanpa sepupu dan sanak saudara.

“Buat masa ini, saya dan isteri tinggal berasingan dan insya-Allah, kami akan mengadakan majlis selepas PKP kerana perkahwinan perlu dihebohkan.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan diharap Allah mudahkan urusan mereka yang ingin mendirikan rumah tangga,” katanya.

MUHAMMAD Don ketika majlis pernikahan secara dalam talian. FOTO Facebook JAWI
MUHAMMAD Don ketika majlis pernikahan secara dalam talian. FOTO Facebook JAWI

Muhammad Don dan Nahdatul Aishah selamat diijabkabulkan dalam satu majlis akad nikah secara sidang video bermula 10.10 pagi tadi.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail melalui facebook Berita Al Hijrah.

JAWI membenarkan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Antara negara melaksanakan nikah secara dalam talian ekoran penularan Covid-19 adalah Emeriah Arab Bersatu (UAE).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan