Gempar gajah masuk kedai [METROTV]

Gerik: “Saya tengah solat Maghrib sebelum terdengar bunyi bising di luar. Orang di kedai saya menjerit ada gajah masuk ke dalam kedai.

“Sebaik selesai solat, saya tengok pelanggan dah bertempiaran lari,” kata Azizan Aziz, 50-an, menceritakan kejadian seekor gajah jantan masuk ke kedai makan dan barangan runcit di R&R Banjaran Titiwangsa Jalan Raya Timur Barat (JRTB) kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Menurutnya, gajah jantan bergading itu dilihat jinak dan cuba mengambil makanan cair yang diletakkan di atas barangan runcit tetapi gagal disebabkan dia memasang jaring.

Azizan berkata, gajah itu tidak merosakkan barangan dalam kedainya serta tidak bertindak ganas.

Dia berkata, selepas beberapa minit, beberapa renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tiba namun gajah itu sudah beredar ke kawasan kem tentera yang terletak kira-kira 200 meter dari kedai.

“Memang takut walaupun ia tidak bertindak ganas. Mungkin dia mahu ubah selera tapi saya bimbang sekiranya ia datang lagi,” katanya.

Azizan yang berniaga di situ sejak 20 tahun lalu berkata, sudah beberapa kali lokasi berkenaan dihampiri kawanan gajah liar namun kejadian mamalia itu masuk ke kedainya adalah pertama kali.

Katanya, kedatangan seekor atau sekumpulan gajah di kawasan berhampiran menjadi perkara biasa, namun tidak pernah mengganggu dia, keluarga, pekerja dan pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, sepasukan anggota membuat pemantauan dan menghalau gajah terbabit ke dalam hutan semula.

RAKAMAN video kejadian seekor gajah jantan masuk ke kedai makan dan barangan runcit di R&R Banjaran Titiwangsa. FOTO tular media sosial
RAKAMAN video kejadian seekor gajah jantan masuk ke kedai makan dan barangan runcit di R&R Banjaran Titiwangsa. FOTO tular media sosial

Katanya, walaupun dihalau tidak mustahil gajah itu datang semula dan Perhilitan berharap orang ramai tidak membuat sebarang provokasi serta jangan menyangka gajah itu jinak.

Beliau meminta supaya orang ramai segera menjauhkan diri sekiranya gajah itu muncul dan segera menghubungi Perhilitan.