(G)I-DLE terus fokus

SELEPAS melancarkan lagu hit mereka DUMDi DUMDi pada Ogos tahun lalu, kemaraan kumpulan (G)I-DLE jelas semakin rancak.

Paling terbaru mereka melancarkan album ini berjudul ‘I burn’.

Ternyata, kumpulan dari Korea Selatan dianggotai Miyeon, Minnie, Soojin, Soyeon, Yuqi dan Shuhua itu tidak mahu membuang masa walau sesaat untuk menakluk dunia dengan muzik mereka.

Walaupun diduga dengan pandemik Covid-19, ia tidak menyekat lansung agenda seni mereka.

Menerusi sidang media dan persembahan maya pada Isnin lalu, kemahiran komunikasi mereka juga semakin matang tatkala bercerita mengenai sisi penghibur setiap anggota.

Sangat ketara, semangat kumpulan itu memang membara terutama menyentuh hal kualiti karya.

Ketuanya Soyeon berkata, dia tidak menafikan transisi muzik dalam diri mereka sangat pantas. Walaupun terkenal dengan ketelitian dalam menetapkan konsep berbeza, sekarang fokus mereka sudah terarah kepada menyampaikan sentimen tertentu pula.

“Kami adalah penyanyi dan kami juga menulis karya muzik. Semua anggota dalam kumpulan kami adalah artis. Maka, berbanding fokus kepada konsep, kami mahu tukar perhatian kepada penyampaian sentimen.

“Walaupun kami kumpulan antarabangsa, kami berkongsi emosi yang sama mengenai perpisahan. Jadi, kami berharap dapat kongsikan emosi sebegitu ibaratnya sebuah novel kepada pendengar,” katanya.

Bagaimanapun, Soyeon tidak menafikan pada awalnya mereka agak bimbang apabila mengetengahkan sentimen menerusi idea dipanggil ‘han’.

‘Han’ adalah frasa terkenal di Korea Selatan yang berkisar emosi tercetus daripada rasa benci dan geram.

RANCAK cipta karya untuk pastikan sentuhan mereka terus diterima di seluruh dunia
RANCAK cipta karya untuk pastikan sentuhan mereka terus diterima di seluruh dunia

“Saya bimbang bagaimana mahu terangkan sentimen itu kepada anggota kami yang berasal dari luar Korea Selatan. Namun, pokok pangkalnya emosi yang kami kongsi sama sahaja selepas sudah lama tinggal bersama.

“Kami juga sangat seronok apabila dapat bekerja dengan perasaan empati. Oleh itu, kami berharap pendengar juga akan dapat mendalami, mendengar dan menikmati muzik kami,” katanya.

Akur dengan situasi sekarang yang tidak membenarkan pergerakan, (G)I-DLE tetap bersemangat untuk gerak-gempur mempromosikan album baharu itu.

Hakikatnya, mereka sasarkan untuk menakluk carta-carta muzik terkenal.

“Semestinya, kami tiada kesempatan untuk bertemu peminat buat masa ini. Kami sangat rindui mereka sebagaimana kami dirindukan. Jadi, kami sentiasa mencari cara untuk berinteraksi dengan mereka.

“Pada masa sama, kami juga sangat teruja untuk mempromosikan lagu baharu kami. Misi kami adalah untuk menduduki tangga pertama carta-carta muzik digital.

Kami mengalu-alukan untuk diberi pujian terhadap kerja-keras kami,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai ‘I burn’, Minnie pula sangat bersyukur impian untuk menghasilkan album itu dengan sepenuh hati terlaksana. Apatah lagi peminat mereka yang digelar Neverland memang ternanti-nanti karya baharu daripada (G)I-DLE.

Lebih manis, dia sendiri dapat menyumbangkan hasil tulisan lagunya untuk dimuatkan dalam album terbabit. Untuk itu, dia mengakui penghasilan keseluruhan album itu sangat bermakna untuknya secara peribadi.

“Sudah lama rasanya lagu ciptaan saya tidak dimuatkan dalam album (G)I-DLE berbahasa Korea. Saya rasa sangat bangga dan terlalu teruja untuk ini. Saya memang sentiasa membikin muzik tapi untuk dimuatkan dalam album, bukan satu pencapaian mudah.

“Saya berbesar-hati akhirnya dapat berkongsi muzik saya kepada Neverland yang sudah lama ternanti. Saya tidak akan berhenti menghasilkan lebih banyak lagu untuk diperdengar kepada mereka semua pada masa depan,” katanya.

(G)I-DLE kian rancak melakar nama.
(G)I-DLE kian rancak melakar nama.

(G)I-DLE ditubuhkan pada 2018 dan bernaung di bawah syarikat rakaman Cube Entertainment. Kumpulan itu mula mendapat perhatian menerusi single pengenalan mereka berjudul Latata, sekali gus mengumpul peminat tersendiri.

Sejak diperkenalkan, kumpulan ini sangat konsisten dalam berkarya. Mereka tidak pernah gagal untuk melancarkan lagu setiap kali peminat mendambakannya dan karya ditampilkan tidak pernah mengecewakan.

Menyentuh hal itu, Soyeon berkata, corak berkarya sebegitu bukannya disebabkan mereka tertekan dengan permintaan peminat, sebaliknya ia tanda dedikasi mereka untuk peminat selain mahu sentiasa gembirakan semua.

“Berbanding merasa tertekan, kami sebenarnya sangat bersyukur terhadap kasih sayang tidak berhenti diberikan semua termasuk untuk muzik kami.

Meskipun tidak dapat bertemu buat masa ini, kami cuba sedaya-upaya berinteraksi dengan mereka secara maya,” katanya.

Mereka juga berazam ingin terus menunjukkan sisi yang berkualiti demi menguatkan kepercayaan peminat terhadap mereka.

Meskipun baharu setahun jagung tidak bermakna mereka tidak sehebat mana.

Misi utama mereka adalah untuk melakar nama yang paling kukuh dalam sejarah muzik dunia sebagaimana kumpulan senegara lain.

Begitu juga dari sudut peribadi, anggotanya mahu tunjukkan kepada keluarga masing-masing bahawa perjuangan mereka tidak sia-sia.

“Ada antara kami yang mahu berbakti untuk membanggakan kedua-dua ibu bapa. Tidak ketinggalan, kami juga tetap akan buktikan betapa seriusnya kami dalam menghasilkan mutu muzik yang bertaraf tinggi,” katanya.