Giliran Kelantan, Pahang

Kuala Lumpur: Banjir di Kelantan dan Pahang masih mencatat peningkatan manakala keadaan di Terengganu semakin baik.

Jumlah mangsa banjir dipindahkan di tiga jajahan di Kelantan meningkat kepada 400 sehingga jam 8 pagi semalam berbanding 323 petang kelmarin.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) jajahan Kota Bharu iaitu 26 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, SK Tiong (50) dan 11 mangsa di Islamic Out Reach ABIM Kok Lanas.

Pasir Puteh pula mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan enam PPS dibuka iaitu Dewan Kompleks Kamil menempatkan 67 mangsa, SK Changgai (17), SK Bukit Jawa 2 (37), SK Kamil 3 (44), SK Sungai Petai (23) dan SK Wakaf Raja (31).

Di Pasir Mas, 74 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di PPS SK Gual Tok Deh dan 20 mangsa di PPS SK Kubang Kual manakala di PPS Balai Raya Padang Kijang, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sebelum ini ditutup.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat jam 8 pagi semalam, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.59 meter (m) (bahaya 9 m) namun ia trend menurun.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 156 mangsa melibatkan 52 keluarga berbanding petang semalam iaitu 109 mangsa daripada 34 keluarga dengan lapan PPS di Raub beroperasi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Sungai Ulu diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (12 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (10 keluarga) dan Masjid Kuala Temau (tujuh keluarga).

Selain itu, Balai Raya Kampung Sengkela menempatkan 12 mangsa daripada empat keluarga, SK Tersang (tiga keluarga), Balai Umno Kampung Batu Talam (empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Chenua (satu keluarga).

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat jam 8 pagi, Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran melepasi tahap waspada dengan mencatat 29.6 meter paras air berbanding 29 meter setakat 8 pagi semalam.

Di Perak, banjir termenung di Kampung Matang Tengah, Beriah dalam daerah Kerian belum surut menyebabkan 27 mangsa masih berada di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai setakat jam 8 pagi semalam.

Di Terengganu, situasi banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,621 mangsa daripada 416 keluarga setakat jam 8 pagi semalam berbanding 2,130 mangsa daripada 550 keluarga jam 4 petang kelmarin.

Penurunan itu berikutan penutupan 10 PPS iaitu lima di Besut, Marang (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu) menjadikan jumlah terkini PPS 48.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, mangsa paling ramai di Marang iaitu 527 daripada 138 keluarga berbanding 769 daripada 203 keluarga petang kelmarin.

Di Dungun, jumlah mangsa berkurangan daripada 166 berbanding 190, Besut (359 mangsa daripada 385), Setiu (268 mangsa daripada 294), Kemaman (43 mangsa daripada 116), Kuala Nerus (134 mangsa daripada 218) dan Kuala Terengganu pula berkurangan kepada 124 berbanding 139 sebelum ini.