Glenn meninggal akibat meningitis

Jakarta: Penyanyi popular Indonesia, Glenn Fredly disahkan meninggal dunia akibat penyakit meningitis.

Menurut Kompas, perkara itu disahkan wakil keluarga Mozes Latuihamalo, melalui satu kenyataan.

Katanya, Glenn Fredly meninggal pada pada 6.47 petang semalam di Rumah Sakit Setia Mitra, Cilandak, Jakarta Selatan kerana meningitis.

Menurut Mozes, Glenn atau nama sebenarnya Fredly Deviano Latuihamallo pernah mengadu mengenai penyakitnya sebelum ini.

Namun, penyanyi yang popular dengan lagu Januari ini masih melakukan aktiviti seperti biasa.

“Satu bulan terakhir, Glenn mulai merasa tidak nyaman atas penyakit yang dideritanya sehingga memutuskan untuk menjalani rawat inap (di hospital),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tahap kesihatan Glenn mula merosot tiga hari lalu.

“Namun, masih bisa (boleh) berinteraksi hingga akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada 8 April,” kata Mozes.

Difahamkan Glenn akan dikebumikan di TPU Tanah Kusir, hari ini.

Glenn meninggalkan isterinya, Mutia Ayu dan seorang anak perempuan yang baru berusia dua bulan.

Dalam status terakhir di Instagramnya, Mutia Ayu memuat naik potret kebahagiaan sambil memeluk Glenn.

  • Glenn Fredly meninggal dunia