Golden Boy tak gentar

“PEMAIN-PEMAIN di luar negara ada sepasang kaki, saya pun ada sepasang kaki, jadi buat apa saya nak takut.”

Itu kata-kata Luqman Hakim Shamsudin yang sudah bersedia untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan KV Kortrijk yang kini beraksi dalam saingan divisyen satu Liga Belgium atau lebih popular dipanggil Jupiler Pro League.

Luqman, 18, yang baharu menandatangani kontrak lima musim bersama kelab itu selamat terbang ke Belgium awal pagi semalam dan dia dijangka akan menyertai pasukan selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari di sana.

Jelas penyerang berbisa itu, cabaran buat dirinya sudah tentu hadir pada sesi latihan pertama akan datang dengan dia perlu memberi aksi terbaik sekali gus cuba memikat perhatian pengurus pasukan, Yves Vanderhaeghe.

Bagaimanapun, dia perlu berhadapan dengan rakan sepasukan yang memiliki fizikal lebih besar dan berpengalaman terutama pemain daripada benua Afrika serta Eropah.

Katanya, dia tidak gentar untuk menghadapi cabaran itu dan sedia bersaing secara sihat dalam pasukan.

“Apa yang saya alami dan cabaran saya kat sana, saya akan alami dan takkan putus asa. Sebab itu yang saya nak tolong keluarga dan saya nak banggakan negara Malaysia.

“Apa pun cabaran saya kena terima. Saya dah janji dalam diri saya sendiri. Jiwa saya kena kental,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi semalam.

Minggu lalu, Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Dia yang digelar The Golden Boy ekoran tercalon dalam 80 bintang muda terbaik dunia dalam anugerah Golden Boy difahamkan akan meraih pendapatan RM15,000-RM25,000 sebulan disamping sebuah rumah dan elaun-elaun lain.

Menurut Luqman lagi, dia mahu membuka lembaran baharu dalam hidupnya dan berharap rakyat Malaysia sentiasa berdoa untuknya.

“Apa yang saya ada saya akan gunakan sebaik mungkin dan yang lepas saya anggap sebagai sejarah. Sekarang ini permulaan baru bagi saya di mana permulaan ini saya jadikan sebagai semangat. Kalau boleh saya harap doa rakyat Malaysia takkan putus buat saya,” katanya.

Berita berkaitan

• Luqman sarung jersi nombor 9

–>

• Ibu Luqman bekalkan daging serunding

• Luqman teruja ‘terbang’ ke Belgium [METROTV]

• Tak kisah penat demi negara, KV Kortrijk

• Misi ubah persepsi Eropah

• FB KVK kena ‘serang’

–>

• Jaring gol bukan jadi simpanan – Vincent

• Reezal mahu Luqman rebut peluang terhidang

• Luqman boleh ‘kecek’ Inggeris

• Luqman sah milik KV Kortrijk

• Luqman atasi Greenwood, Haaland

• Luqman dahului Anugerah Golden Boy

• Luqman terus dapat perhatian Eropah