GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin

Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan sebarang kaitan dengan PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baru.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, gabungan empat parti Sarawak itu masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, GPS berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara.

*Ketika negara sedang berperang dengan penularan wabak Covid-19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara.

“Kepentingan rakyat dan negara pada ketika kita sedang menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19 yang meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, perlu diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanta berkata, GPS dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) mengulangi pendirian bahawa mereka menolak sekeras-kerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh melemparkan tuduhan bahawa Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS.

“Sebagai seorang ahli politik veteran dan berpengalaman, Anwar seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi.

“Anwar harus menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar bersandiwara untuk meraih sokongan rakyat Sabah: Rosol
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • ‘Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja’
  • Amanah sokong Anwar
  • ‘Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen’ – Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu