Graduan AMD kualiti ‘eksport’

BUKAN seorang tetapi dijangka lebih ramai lagi pemain muda negara bakal mengikut jejak Luqman Hakim Shamsudin khususnya daripada graduan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) selepas ini.

Pandangan itu disuarakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar yang mengakui beberapa lagi pemain berpotensi untuk ‘dieksport’ ke luar negara.

Beliau antara watak penting yang mencorakkan perjalanan NFDP dan AMD sejak 2014 lalu percaya kejayaan Luqman mengikat kontrak profesional selama lima tahun bersama kelab utama Belgium, KV Kortrijk (KVK) akan membakar semangat pelatih AMD untuk mengikut jejaknya.

Katanya, objektif penubuhan NFDP dan AMD kini sudah mula menampakkan hasil dan Luqman adalah contoh kepada revolusi dalam bola sepak negara.

“Bagi saya, kalau dibandingkan layak ke Piala Dunia peringkat umur, saya lebih cenderung kepada berapa ramai pemain yang NFDP boleh hasilkan untuk pasaran luar.

“Tak kiralah main di mana sekali pun sama ada di Thailand, Jepun atau Eropah. Alhamdulillah sekurangnya generasi pertama NFDP ada seorang (Luqman) yang berjaya ke Eropah.

“Kalau tanya pendapat saya dan juga jurulatih lain di NFDP, secara keseluruhan ada lagi yang baik macam Luqman juga. Tapi mungkin ‘tuah’ lebih memihak dia apabila menyerlah di AFC B-16 (Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia) dua tahun lalu.

“Bayangkan macam mana seorang pemain yang hanya bermain dalam satu jam setengah boleh muncul penjaring terbanyak dan lawan itu pula akhirnya muncul naib juara AFC.

“Ketika itu ramai pemerhati dan pencari bakat. Luqman bijak guna peluang itu sebaiknya. Tapi sebenarnya ada lagi yang sebagus Luqman, mungkin kalau Luqman berjaya di Belgium nanti orang akan cari (bakat di AMD) kita lagi,” katanya.

Antara bekas produk AMD yang boleh diketengahkan adalah penjaga gol dan pertahanan Selangor II iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Harith Haiqal Adam Afkar serta Ahmad Zikri Mohd Khalili selain pemain JDT, Muhammad Firdaus Kaironnisam.

Sebelum ini, Luqman, 18, muncul pemain tempatan pertama beraksi dalam liga utama Eropah selepas mengikat kontrak dengan KVK.

Di Belgium, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu difahamkan meraih pendapatan RM15,000-RM25,000 sebulan di samping sebuah rumah yang disediakan pengurusan kelab.

Selain itu, penyerang kebangsaan itu turut menerima elaun lain seperti elaun perlawanan dan latihan serta akan menikmati kenaikan gaji seandainya berjaya menunjukkan prestasi terbaik.