Guna ular sawa jadi pelitup muka

London: Seorang lelaki di United Kingdom (UK) membuat kerja ‘gila’ apabila menggunakan ular sawa hidup sebagai pelitup mukanya.

Aksi lelaki itu membiarkan reptilia itu melilit lehernya dan menutup sebahagian mukanya, dirakam dalam sebuah bas di Salford.

Manchester Evening News melaporkan, penumpang itu dilihat menaiki pengangkutan awam itu menuju ke Manchester di kawasan Salford pada 14 September lalu.

Penumpang lain terkejut apabila lelaki itu membuka lilitan ular di sekitar lehernya dan membiarkannya melilit di tempat pemegang dalam pengangkutan itu.

Seorang saksi berusia 46 tahun dari Swinton berkata, kelakuan pelik lelaki itu menghiburkan penumpang lain.

“Kali pertama saya ingat dia pakai pelitup muka funky sebelum tersedar itu adalah ular selepas dia membiarkannya melilit di tempat pemegang tangan.

“Tiada seorang pun dalam bas itu rasa terganggu kerana ia menghiburkan. Tetapi seorang lelaki sempat merakamkan video,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Stagecoach di Manchester berkata, keselamatan pengguna dan kakitangan menjadi keutamaan mereka.

“Kami terkejut mendengar laporan ini dan memandang serius perkara ini.

“Kami mengharapkan semua pelanggan mematuhi peraturan kerajaan termasuk menggunakan pelitup muka sesuai ketika menaiki pengangkutan awam.

“Siasatan dalaman sedang dilakukan termasuk pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dalam bas dan menyoal siasat pemandu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19