Guru pondok ditahan, cabul ahli perniagaan lelaki

Kota Bharu: Seorang guru pondok ditahan selepas dipercayai mencabul ahli perniagaan lelaki yang baru dua hari dikenalinya di sebuah bilik hotel di jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini.

Suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai guru pondok ditahan jam 3 petang semalam di pondok tempat suspek mengajar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa yang juga ahli perniagaan berusia 30 tahun dikatakan keluar dengan suspek menaiki kereta dipandu suspek, malam kelmarin.

“Lebih kurang jam 1.15 pagi semalam, suspek menghantar mangsa ke sebuah bilik hotel dan ketika berada di hotel berkenaan, suspek mencabul mangsa dengan mencium pipi dan meraba kemaluan mangsa.

“Suspek turut menggeselkan kemaluannya ke peha mangsa. Susulan kejadian itu, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek membuat laporan polis.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa yang belum berkahwin baru mengenali suspek dua hari sebelum kejadian, ketika berada di sebuah pasar raya di sini.

“Menurut mangsa sebelum kejadian, suspek menghubunginya dan mengajak mangsa keluar minum bersama sebelum berlakunya kejadian itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan suspek ditahan empat hari bermula hari ini.