Guru tuisyen curi 21 pakaian Zara dipenjara lima hari

AKIBAT mencuri 21 helai pakaian di sebuah butik di pusat beli-belah di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, seorang guru tuisyen dihukum penjara lima hari dan denda RM4,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, Alya Iman Abdul Manab, 28, turut diperintahkan oleh Majistret S.Mageswary menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah mengarahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 8 Ogos lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Alya Iman didakwa mencuri 21 helai pakaian dengan nilai keseluruhan RM4,310 milik syarikat Zara Al-Futtain Sdn Bhd di Butik Zara, Mid Valley, Lingkaran Syed Putra di Kuala Lumpur pada 7.15 malam, 8 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Peguam Muhammad Syafiq Salleh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya selain pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah.

“Dalam kes ini, tertuduh telah memulangkan kesemua barangan yang dicuri selepas dia ditangkap. Jadi saya mohon satu hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh,” kata Muhammad Syafiq.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira barangan yang dicuri bernilai tinggi.

Semalam media melaporkan, tertuduh ditangkap oleh pihak pengurusan butik berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan apabila memasukkan pakaian dalam beg dan gagal menunjukkan resit pembelian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Berita berkaitan

• Wanita ‘bergaya’ kantoi curi pakaian