Hamil anak ke-16

North Carolina: Patty Hernandez yang mempunyai 15 orang anak kini mengandung lagi.

Ibu berusia 38 tahun itu yang semua anaknya diberi nama dengan awalan huruf C, dijangka melahirkan anak ke-16, pada Mei tahun depan.

Ketika ini dia bersama suami Carlos Hernandez tinggal bersama semua permata hati mereka di rumah lima bilik di Charlotte, North Carolina.

Setiap minggu mereka menghabiskan kira-kira AS$498 (kira-kira RM2,100) untuk belanja makanan serta keperluan lain.

Memetik laporan Mirror, lima anak mereka lelaki dan 10 lagi perempuan.

Mereka ialah CarlosJr, Christopher, Carla, Caitlyn, Cristian, Celeste, Cristina, Calvin, Catherine, Carol, Caleb, Caroline, Camila, Charlie dan Crystal.

PATTY bersama suami, Carlos Hernandez. FOTO Patty Hernandez

Keluarga itu mula menjadi bualan orang ramai pada 2019 namun selepas itu dia melahirkan dua lagi anak iaitu Charlie yang lahir pada Mei 2019 dan Crystal yang lahir ketika pandemik April lalu.

Walaupun, memiliki ramai anak, Patty senang dengan keadaan itu dan sejak dulu bersedia untuk hamil lagi.

“Keadaan ini memang memberikan tekanan dan sukar untuk menjaga bayi yang baru lahir.

“Mereka selalu menangis dan saya harus melayani mereka, tetapi kami menikmatinya,” katanya.

Patty berkata, dia tidak menggunakan sebarang pencegah kehamilan dan reda jika hamil lagi.

“Kami serahkan kepada Tuhan dan apa juga yang ingin diberikan, kami bahagia,” katanya.