Hanya 4 sekeluarga dalam kereta persendirian [METROTV]

HANYA empat orang dalam keluarga yang sama boleh menaiki kenderaan persendirian bersama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada isu jika ia membabitkan ahli keluarga yang sama.

“Kita tahu tiada penjarakan sosial berlaku di rumah. Setiap keluarga makan dan tidur bersama. Oleh itu kerajaan membenakan kenderaan persendirian boleh dinaiki maksimum empat orang dan mestilah dari keluarga sama dan rumah yang sama.

“Saya percaya akan ada ingkar dan membawa kawan. Perlu diingatkan sesiapa yang ingkar akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu beliau mengingatkan supaya kakitangan awam dan swasta yang akan mula bekerja esok supaya mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri.

“Seperti kita tahu esok kakitangan awam dan swasta akan mula bertugas. Semua perkhidmatan awam akan kembali beroperasi seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan perjalanan.

“Namun pengguna dan pengendali kenderaan awam perlu sentiasa patuh garis panduan dan memastikan penjarakan sosial dan kebersihan diri. Sebagai contoh tempat menunggu bas, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) perlu patuh penjarakan sosial,” katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Tambah beliau kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar.

“Sebagai contoh jika bas muat 40 penumpang, mereka hanya dibenarkan ambil 20 penumpang sahaja dalam satu masa. Begitu juga dengan LRT, MRT dan sebagainya.

“Begitu juga dengan tempat berdiri, perlu ditandakan seperti berdiri di dalam lif sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab di sidang media di Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19