Hanya mengintai dari beranda [METROTV]

HANYA mampu melambai dan memandang kejauhan dari beranda. Itu pengalaman yang sedang dirasai 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Meninjau hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua blok di situ, kelihatan beberapa penghuninya hanya sekadar mampu melepaskan kebosanan dan rasa resah dengan berkomunikasi secara jauh dengan petugas media yang setia menunggu di seberang jalan.

Sesekali mereka masuk dan keluar memanggil rakan yang lain untuk melambai kepada petugas media yang bersedia pada setiap masa merakam gelagat penghuni, kebanyakannya warga asing.

Wartawan yang meninjau dari bawah kedua-dua blok A dan B melihat gelagat yang sama serta turut sama melambai mereka bagi memberikan sedikit kelegaan meredakan keresahan penghuni di situ.

Apa yang diperhatikan, penguatkuasaan PKPD di situ begitu ketat dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan di semua arah, malah sekeliling bangunan itu dipagar dengan gelung dawai berduri.

Hanya sekali wartawan diberi peluang merapati bangunan di bahagian depan yang menjadi zon larangan tetapi jelas pintu masuk ke bangunan itu dikawal ketat dan tidak kelihatan sebarang aktiviti di dalamnya.

Penghuni sekadar mampu melepaskan kebosanan dengan berkomunikasi secara jauh dengan petugas media dari jauh. FOTO Azrul Affandi Sobry
Penghuni sekadar mampu melepaskan kebosanan dengan berkomunikasi secara jauh dengan petugas media dari jauh. FOTO Azrul Affandi Sobry

Beberapa kali juga kelihatan penghantar makanan secara dalam talian tidak dibenarkan memasuki atau menghantar makanan meskipun ia sudah ditempah penghuni di situ, menunjukkan pelaksanaan PKPD adalah sangat serius.

Hasil perbualan dengan beberapa anggota polis yang bertugas, mereka memang sudah diberi arahan untuk tidak membenarkan sesiapa berurusan atau memasuki zon larangan sekitar 50 meter dari bangunan, termasuk penghantar makanan.

Kawalan juga diperketatkan kerana menurut mereka, pada hari pertama, memang ada penduduk bangunan itu yang cuba keluar namun berjaya dihalang pihak keselamatan.

Mana-mana kenderaan yang mahu melalui jalan di hadapan Kompleks Semua House juga diminta berpatah balik atau menggunakan laluan lain.

Menara City One menjadi lokasi ketiga PKPD, selepas kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat dan Simpang Renggam, Kluang, Johor.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan